Pemain Kedah Smeltz Shane Edward (kiri) diasak pemain T-Team.

Alor Setar: Kedah menceriakan kira-kira 5,000 penyokong setia mereka menerusi kemenangan 1-0 ke atas T-Team dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi.

Bermain dalam hujan pada babak pertama membuatkan kedua-dua pasukan tampil dengan aksi berhati-hati dan permainan banyak berlegar di tengah padang.

Peluang pertama Kedah hadir menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti pelawat pada minit ke-6 namun cubaan Liridon Krasniqi mudah didakap penjaga gol Mohd Ilham Amirullah.

T-Team yang tidak mahu mengaku kalah turut melakukan percubaan menerusi Badrul Hisham tetapi sedikit tersasar di sebelah kanan gawang tuan rumah.

Kedudukan 0-0 kekal hingga wisel babak pertama dibunyikan dan sebaik separuh masa kedua bermula, Kedah kembali garang dan beroleh gol tunggal menerusi rembatan Shane Smeltz pada minit ke-49 selepas dia menerima hantaran Syafiq Ahmad.

Pelawat turut memperoleh peluang keemasan pada minit ke-66 tetapi sepakan percuma Makan Konate ditumbuk keluar penjaga gol Kedah Mohd Ifwat manakala cubaan Dilshod Shrifudinov melewati palang gol.

Sementara itu, di Ipoh, Perak berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Terengganu hasil jaringan Kenny Pallraj dan Elias Fernandes pada setiap babak perlawanan.

Dengan kemenangan itu, The Bos Gaurus berjaya memperbaiki kedudukan di tangga kelapan berbanding di tempat ke-11 sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 8:33 AM