FATIN (tiga dari kanan depan) meraikan kejayaan meraih emas Sukan Universiti Asean 2016 di Singapura bersama rakan sepasukan.
FATIN (tiga dari kanan depan) meraikan kejayaan meraih emas Sukan Universiti Asean 2016 di Singapura bersama rakan sepasukan.
Rodly Fadly


“Kamu hendak jadi Robin Hood?” Itulah pertanyaan yang dilemparkan Sulin Eban terhadap anak perempuannya Fatin Nurfatehah Mat Salleh (gambar) yang ketika itu baru berusia 10 tahun.

Bagi Fatin, dia sendiri langsung tidak kenal siapa itu Robin Hood dan selepas mendapat pelbagai penerangan ibunya, barulah dia tahu dan berusaha untuk lebih mengenali wira berkenaan.

“Pertama kali melihat siri kartun Robin Hood di televisyen, saya terpegun dengan ketangkasannya memanah kerana setiap bidikannya menepati sasaran. Ketika itu saya membayangkan kalaulah saya dapat melakukannya seperti Robin Hood, tentu saya hebat.

“Selama ini saya hanya jaguh dalam melastik. Apa yang menarik perhatian saya mengenai memanah ialah caranya tidak jauh berbeza dengan melastik. Saya tertarik untuk mencuba sukan memanah seperti disarankan ibu. Kebetulan rakan baik ibu adalah seorang jurulatih memanah dan beliau sedang mencari bakat baru untuk diketengahkan.

“Pada ketika itu saya fikir tidak salah mencuba sesuatu yang baru. Mungkin kepakaran saya melastik boleh digunakan dalam sukan memanah. Selepas enam bulan berlatih memanah bersama Persatuan Memanah Sabah, saya agak terkejut apabila dipilih mewakili negeri ke pertandingan memanah sirkit kebangsaan. Ia bagaikan mimpi kerana daripada seorang yang langsung tidak mempunyai asas dalam sukan ini, saya terpilih mewakili Sabah.

“Walaupun tidak memenangi sebarang pingat dalam penyertaan sulung itu namun ia memberi pendedahan yang sangat berguna. Malah, secara tidak langsung meningkatkan semangat saya untuk serius dalam sukan ini.

“Pada tahun berikutnya, dalam sirkit yang sama, saya memenangi pingat gangsa dalam acara 40 meter (m) dan perak acara 200m. Selepas itu saya mewakili Sabah dalam SUKMA dan kejohanan MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia) serta beberapa siri sirkit negara.”

Begitulah permulaan karier Fatin dalam sukan memanah, sesuatu yang tidak pernah dirancang kerana sebelum itu dia lebih aktif dalam olahraga. Dia menjadi sandaran SRK St Agnes dan SMK Lok Yuk, Kota Kinabalu untuk membawa pulang pingat dalam acara jarak dekat dan jauh.

Namun, ketika anak sulung daripada tiga beradik itu mula memasang angan-angan tinggi dalam sukan memanah, dia menerima ujian yang hampir menamatkan kariernya.

Semasa menyertai SUKMA 2006, Fatin mengalami kecederaan belakang. Doktor mengesahkan dia mengalami ‘slip disc’. Namun pemeriksaan rapi selepas itu mendapati dia mengalami ‘scoliosis’ iaitu keganjilan pada tulang belakang yang membentuk seperti huruf C.

“Doktor menasihati saya supaya melupakan terus sukan memanah kerana ia boleh memudaratkan lagi kecederaan dan keadaan tulang belakang saya. Ketika itu saya benar-benar kecewa kerana saya mula serius dalam sukan ini dan menyimpan cita-cita mewakili negara.

“Hampir lima bulan saya berehat dan menjalani rawatan akibat kecederaan itu. Bila pulih, saya mengambil keputusan untuk mengabaikan nasihat doktor dan kembali ke gelanggang latihan.

“Bagaimanapun saya beralih daripada acara recurve kepada compound bagi mengelak kecederaan berulang. Ini kerana busur untuk compound lebih kecil dan pergerakan anak panah lebih laju berbanding recurve yang memerlukan tenaga yang banyak untuk melepaskan anak panah.

“Ketika itu saya banyak belajar teknik memanah untuk kategori compound melalui Youtube serta pembacaan. Lama-kelamaan saya dapat menguasai acara ini dan semakin selesa. Agak memeranjatkan percubaan pertama saya dalam acara ini di SUKMA Terengganu pada 2008 membuahkan hasil apabila memenangi dua pingat emas. Ini memberi semula keyakinan kepada saya untuk kembali aktif dalam sukan memanah,” ujar Fatin.

Kejayaan di SUKMA itu membuka pintu untuk Fatin menyertai skuad kebangsaan pada 2009. Dia menunjukkan kecemerlangan dalam penyertaan pertama di Grand Prix Memanah Asia apabila memenangi satu pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

Pencapaian terbaik Fatin setakat ini ialah memenangi tiga pingat emas melalui acara individu, berpasukan wanita dan berpasukan campuran pada Sukan SEA di Singapura pada 2015 lalu. Dia juga turut memenangi emas berpasukan pada kejohanan Memanah Piala Dunia 2015 di Shanghai, China.

Terbaru, Fatin menyapu bersih tiga emas yang dipertandingkan di Sukan Universiti ASEAN di Singapura.

Bagi Fatin Nurfatehah, siri kejayaan itu membakar semangatnya untuk meningkatkan prestasi bagi memastikan pingat emas kekal menjadi milik skuad memanah negara apabila beraksi dalam Sukan SEA 2017 di

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 8:45 AM