DR KH Wang (tengah) beramah mesra bersama pelajar ketika lawatan di Wisma Smart Reader, Jalan Udang Harimau.
DR KH Wang (tengah) beramah mesra bersama pelajar ketika lawatan di Wisma Smart Reader, Jalan Udang Harimau.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Smart Reader Worldwide Sdn Bhd penyedia perkhidmatan pendidikan kanak-kanak prasekolah merancang melebarkan lagi sayap perniagaannya ke peringkat global dengan menembusi pasaran Nigeria, China, Sydney, Turki, Pakistan dan Nepal pada awal tahun depan.

Ketika ini, syarikat itu sudah membuka beberapa rangkaian francaisi antarabangsa Smart Reader di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Asia Barat, Melbourne (Australia) dan Medan (Indonesia) pada tahun ini.

Pengarah Eksekutif Kumpulannya Datin Seri Dr KH Wang berkata, pihaknya komited menyediakan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di seluruh dunia dengan mengguna pakai modul pembelajaran yang dibangunkan sendiri oleh Smart Reader.

Katanya, Smart Reader yang sudah beroperasi 29 tahun di Malaysia, bukan saja berkembang pesat di dalam negara, malah menerima banyak pertanyaan dari pihak luar negara.

“Kerjasama dengan francaisi antarabangsa ini adalah bukti kejayaan jenama tempatan berkembang ke pasaran antarabangsa, malah penat-lelah selama ini berbaloi apabila Smart Reader Worldwide mendapat kepercayaan peringkat dunia.

“Tahun ini, kami tidak hanya membuka rangkaian di luar negara, tetapi turut menumpukan peluasan cawangan di Timur Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, silibus digunakan Smart Reader bertaraf antarabangsa serta disahkan bermutu tinggi berdasarkan pengiktirafan beberapa badan antarabangsa dan tempatan seperti Anugerah Pendidikan Global Luar Biasa 2014 serta Anugerah Emas Paling Dipercayai Reader’s Digest pada 2013.

Beliau berkata, mengenai yuran yang ditawarkan oleh Smart Reader juga sangat berpatutan iaitu RM295 sebulan berbanding dengan kualiti pendidikan yang diberikan terutama oleh guru terlatih dan suasana pembelajaran yang menyeronokkan untuk kanak-kanak.

“Memandangkan, kami menggunakan silibus sendiri dan diiktiraf, oleh itu, ia diselarikan berdasarkan lokasi dan negara, yang mana di Malaysia sendiri, kami terapkan nilai murni dan kenegaraan tempatan manakala bagi di negara lain, ia akan mengikut budaya dan gaya pembelajaran di sana.

“Kami juga membuka peluang kepada orang ramai yang ingin menjadi francaisi Smart Reader dengan pelaburan dianggarkan RM250,000 hingga RM300,000 bergantung kepada lokasi dan saiz,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 7:31 AM