ORANG ramai meletakkan bunga  dan memperingati mangsa di memorial berhampiran tempat kejadian. - AP
ORANG ramai meletakkan bunga dan memperingati mangsa di memorial berhampiran tempat kejadian. - AP

Munich: Remaja yang menembak mati sembilan orang dalam serangan di Munich dilaporkan tiada kaitan dengan Daish, sebaliknya merancang kejadian itu sejak setahun lalu dan terlalu taasub dengan pembunuh beramai-ramai seperti pelampau berhaluan kanan Norway, Anders Behring Breivik.

Eropah dikejutkan dengan serangan ketiga di benua itu dalam masa seminggu, selepas David Ali Sonboly, 18, melepaskan tembakan di pusat beli-belah pada Jumaat yang disifatkan seperti serangan terancang sebelum membunuh diri.

Pegawai siasatan berkata, Sonboly yang juga penuntut berketurunan Jerman-Iran mempunyai sejarah sakit mental.

Menteri Dalam Negeri Thomas de Maiziere berkata, remaja itu menggodam akaun Facebook seorang gadis dan menggunakannya untuk mengumpan mangsa ke cawangan McDonald’s, lokasi beliau memulakan serangan.

“Memang jelas tiada kaitan dengan Daish,” kata Ketua Polis Munich, Hubertus Andrae, dengan pendakwa menyifatkan serangan sebagai ‘tindakan klasik orang gila.’

Penyiasat dapat melihat dengan jelas kaitan antara pembunuhan pada Jumaat itu dengan kes Breivik yang membunuh 77 orang di Norway, tepat lima tahun sebelumnya.

Canselor Jerman, Angela Merkel, berkata, Munich berdepan ‘malam penuh ngeri.’

Kebanyakan mangsa masih muda dengan tiga daripada mereka baru berusia 14 tahun.

Pihak berkuasa Munich menggunakan media sosial untuk memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi tempat tumpuan ramai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 10:51 AM