NOR Albaniah bersyukur rezeki sentiasa murah dengan pelbagai tawaran berlakon.
Ridzuan Abdul Rahman


Publisiti berkaitan kariernya di media agak kurang berbanding zaman kegemilangannya pada era 1990-an dulu.

Bagaimanapun, pelakon seksi Nor Albaniah Raffie, 46, tetap gembira kerana rezekinya dalam industri seni tempatan tetap ada.

Biarpun tidak melimpah-ruah seperti dulu, jadualnya tetap sibuk dengan pelbagai tawaran berlakon.

“Saya tak boleh tolak hakikat dunia seni sekarang semakin dibanjiri bakat baru yang hadir dengan pelbagai pakej.

“Tak dinafikan mereka jadi pilihan penerbit dan peminat tapi pada masa sama, orang macam saya tetap ada tempat dalam industri hiburan. Ada watak yang sesuai diberikan bergantung kepada kerja kreatif penulis skrip dan penerbit itu sendiri.

“Justeru, generasi seperti saya tak dipinggirkan penggiat industri seni tempatan,” katanya.

Nor Albaniah berkata, boleh dikatakan dia jarang mempunyai masa terluang di rumah kerana terlalu sibuk di lokasi.

“Syukur kerana rezeki sentiasa murah. Kepercayaan yang diberikan penerbit dan stesen TV dibalas dengan saya menunjukkan mutu lakonan yang baik dan menghiburkan semua.

“Apabila penonton sukakan lakonan saya, bermakna karakter yang dibawakan menjadi dan penerbit pasti akan ambil saya berlakon lagi dalam drama mereka,” katanya.

Pelakon yang pernah membintangi filem Adik, Main-Main Hantu dan Kekasih Awal Dan Akhir ini mengakui tidak pernah ketinggalan hadir ke majlis hiburan rasmi untuk memastikan namanya tidak tercicir dari industri hiburan.

“Saya selalu hadir ke majlis seperti anjuran FINAS baru-baru ini. Alhamdulillah mereka masih mengingati dan menjemput saya untuk ke majlis begini. Bahkan untuk majlis berbuka puasa dulu pun saya dijemput juga. Saya pula sering menyokong penganjuran begini kerana tujuannya juga khas untuk anak seni.

“Apa saja aktiviti yang baik kita perlu sokong. Cuma saya lihat kebanyakan yang menyokong program begini adalah artis generasi lama berbanding yang baru.

“Sepatutnya peluang ini boleh digunakan mereka untuk mengeratkan hubungan dengan artis lama. Hubungan sesama artis lama sangat akrab dan sangat berbeza berbanding sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Albaniah mengakui teruja kerana dirinya kini bergelar duta produk cermin mata jenama terkenal dari Korea Selatan dan Jepun.

“Alhamdulillah, ada juga rezeki lain yang datang. Saya sebenarnya baru dua minggu dilantik jadi duta dan ia amat mengujakan kerana inilah kali pertama saya diberikan tawaran ini sejak lama berlakon.

“Tambah lagi saya sendiri suka mengenakan cermin mata kerana boleh menimbulkan kelainan pada penampilan. Mulanya saya hairan juga kenapa saya yang jadi pilihan, tapi mereka kata raut muka saya seperti orang Korea dan Jepun dan inilah faktor saya dipilih,” katanya yang sudah 20 tahun bergelar ibu tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 5:54 AM