MUSTAQIM
MUSTAQIM mengajar muridnya.
Siti Farahiyah Aziz
Gen.y@hmetro.com.my


Menjelang musim cuti persekolahan kebanyakan pasangan merancang mendirikan rumah tangga mula membuat persiapan awal khususnya membabitkan pemilihan pakej pelamin dan baju pengantin.

Kesempatan itu diambil sebagai peluang terbaik bagi anak muda Muhammad Mustaqim Anuar, 23, yang juga guru prasekolah untuk menjadikan perniagaan butik pengantin iaitu QimAnna Bridal sebagai pekerjaan sampingan.

PERMULAAN PERNIAGAAN

Menceritakan pembabitannya dalam bidang yang kebiasaannya sinonim dengan perempuan, Mustaqim berkata, dia pada mulanya hanya pekerja biasa membantu di butik.

“Ketika berumur 18 tahun dan masih dalam tempoh melanjutkan pengajian, saya menggunakan hari cuti semester dengan bekerja secara sambilan di butik pengantin.

“Pelbagai kerja dilakukan, bukan saja memasang pelamin tapi juga kanopi. Walaupun dilakukan hanya pada cuti semester, lama-kelamaan saya mula rasa minat terhadap bidang ini dan merancang memiliki butik sendiri,” katanya.

Menurutnya, sejak itu dia mula mengumpul hasil pendapatan kerja sambilan untuk membuka butik pengantin sendiri.

“Selepas berjaya mengumpul modal sebanyak RM500, saya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan ketika berusia 19 tahun,” katanya.

MENARIK PERHATIAN

Mustaqim berkata, dia mengakui bergelar peniaga baru ketika itu bukan suatu yang mudah kerana belum dikenali orang ramai berbanding butik lain yang sudah ada ramai pelanggan.

“Kepercayaan adalah aspek paling sukar kerana kebanyakan pelanggan akan bertanya kepada rakan mereka untuk mengetahui perkhidmatan yang diberikan.

“Jadi saya menggunakan medium laman sosial Facebook, WeChat dan Instagram untuk menarik perhatian orang ramai dengan memuat naik gambar berkenaan butik dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

ANTARA DUA KERJAYA

“Bagi saya walaupun bergelar peniaga, ia langsung tidak menjejaskan kerjaya tetap saya sebagai guru kerana kebanyakan permintaan adalah pada hari cuti atau dilakukan selepas waktu mengajar.

“Walaupun pada mulanya saya terpaksa berulang-alik dari kampung ke tempat mengajar iaitu di Besut, kepenatan yang dirasai langsung tidak mematahkan semangat saya.

“Sebaliknya, saya membuat pusingan modal dengan menambah koleksi butik yang sedia ada, pakej solek dan andaman dan menyediakan pakej bersama kanopi kerana ia mendapat permintaan daripada pelanggan yang inginkan urusan mereka lebih mudah,” katanya.

Komitmen dan tanggungjawab yang dipikul turut dikongsi bersama adiknya, Nur Jannah Anuar, 22, dan rakan rapat kerana kebanyakan pekerjanya adalah kenalan yang mengenali antara satu sama lain sejak kecil.

PENGALAMAN BERDEPAN PELANGGAN

Mana-mana pasangan raja sehari sudah pasti inginkan yang terbaik pada hari bahagia. Jadi setiap orang mempunyai pelbagai permintaan untuk melengkapkan hari indah mereka.

“Pelanggan semestinya inginkan yang terbaik dan kita sebagai peniaga perlu bijak dalam memenuhi permintaan mereka kerana setiap orang ada kehendak masing-masing.

“Bagi saya sendiri, dengan peralatan dan kelengkapan sedia ada, saya cuba variasikan reka bentuk pelamin mengikut peredaran masa. Selain itu, saya juga sudah menetapkan jumlah pelanggan bagi seminggu supaya dapat menyediakan perkhidmatan terbaik dan memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.

PERANCANGAN AKAN DATANG

“Walaupun sudah ada pekerjaan tetap dan butik sebagai sampingan, saya merancang menceburi dan mengembangkan lagi perniagaan dengan produk atau perkhidmatan yang lain.

“Perniagaan itu sendiri sangat luas dan saya berasa seronok apabila dapat memenuhi permintaan pelanggan. Lagipun, sekarang ini saya sedang berusaha menghasilkan produk penjagaan kulit dan dijangka dilancarkan pada hujung tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 6:04 AM