Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejayaannya muncul juara pertarungan Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia menjadi ‘trending’ di laman sosial.

Muhammad Farkhan Haron (gambar) melakar sejarah dalam sukan negara apabila mengharumkan nama Malaysia dengan gelaran yang dirangkulnya itu.

Namun ada yang mempersoalkan mengapa kejayaan bekas atlet kebangsaan itu tidak diiringi balutan bendera Jalur Gemilang di bahunya.

“Ia permintaan daripada penaja” itu jawapannya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Laos 2009 itu bagaimanapun tetap berbangga membawa nama Malaysia biarpun tidak mendapat sokongan atau bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM).

Farkhan, 28, pernah membawa usul mendapat dana dari KBS namun ditolak mentah-mentah dan kariernya berkembang tanpa bantuan daripada pihak sepatutnya.

“Sebenarnya saya sedikit terkilan apabila kerjaya saya langsung tidak dibantu oleh KBS sebaliknya kejayaan saya ini disokong oleh orang luar daripada bidang sukan.

“Ramai yang mempersoalkan mana bendera Malaysia ketika saya muncul juara, tapi saya perlu hormati permintaan penaja yang tidak mahu perkara itu berlaku.

“Bagaimanapun ketahuilah saya berbangga membawa nama Malaysia. Berjaya mengangkat nama negara di peringkat dunia.

“Gelaran WBC ini satu yang berprestij dan secara tidak langsung Malaysia akan turut dikenali,” katanya.

Kelmarin, Farkhan berjaya melonjakkan nama negara di persada tinju profesional apabila muncul juara WBC selepas menewaskan peninju Indonesia Elly Pangaribuan untuk muncul peninju pertama negara merangkul tali pinggang WBC kategori cruiserweight.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 6:13 AM