Keadaan pikap yang remuk teruk. - Foto RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Dua lelaki maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan treler membawa jengkaut di Kilometer 11, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.40 petang itu, Che Abdullah Ismail, 59, dari Lembah Subang, Petaling Jaya, dan penumpangnya, Tuan Kamarulzaman Tuan Mamat, 55, dari Taman Balok Pantai, Kuantan, yang menaiki kenderaan pacuan empat roda, maut di tempat kejadian.

Pemandu treler, Mat Daud Ismail, 50, dari Jabi, Jertih, Terengganu, hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Gua Musang (HGM).

Ketua Polis Daerah Gua Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa dari arah Kuala Lipis ke Gua Musang dipercayai terbabas dan memasuki laluan treler menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan dua mangsa dalam kenderaan pacuan empat roda yang remuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 5:57 PM