Kandungan sisa racun makhluk perosak dan bahan toksin pada sayur-sayuran dan buah-buahan menimbulkan kebimbangan terhadap pengguna kerana ia menjadi punca pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser.

Namun, tanggapan ini kurang tepat kerana bahan pencemaran dan aditif makanan pada paras yang rendah hanya boleh mendatangkan risiko bahaya tetapi tidak terus memberi kesan kepada tubuh manusia.

Namun, jika residu racun ini terkumpul pada paras yang tinggi dalam tubuh, ia mungkin boleh mendatangkan bahaya untuk kesan jangka masa panjang.

Kita boleh mengelak pengumpulan residu bahan pencemaran dengan mengikuti panduan tertera.

-Pelbagaikan jenis makanan

Elak mendapatkan sesuatu jenis makanan dari satu punca iaitu pembekal atau tempat yang sama. Biasanya makanan dari satu punca menggunakan kaedah pengeluaran serupa.

Begitu juga penggunaan racun perosak yang sama atau pencemaran alam sekitar yang sama. Dengan menukar punca makanan, ia mengurangkan risiko pengumpulan bahan toksik.

-Tanam sendiri sayur-sayuran dan buah-buahan

Menanam sendiri sayur-sayuran dan buah-buahan di sekeliling rumah memastikan ia bebas daripada racun perosak.

-Pilih sayur-sayuran dan buah-buahan yang ada kesan ulat atau serangga

Buah yang mempunyai kesan ulat atau serangga menunjukkan sayur-sayuran dan buah-buahan itu kurang atau tiada sisa racun perosak.

Namun, ada pelbagai jenis racun boleh menyebabkan makhluk perosak lali.

-Basuh dengan bersih sayur-sayuran dan buah-buahan

Membasuh sayur-sayuran dan buah-buahan mengurangkan residu racun perosak sehingga 20 peratus. Racun makhluk perosak tidak dapat dihilangkan 100 peratus kerana buah-buah mempunyai lapisan minyak di permukaannya yang mengikat racun perosak.

-Dapatkan sayur-sayuran dan buah-buahan hidroponik

Kaedah penanaman hidroponik di kawasan yang ditutupi jaring menghalang serangan racun perosak. Untuk lebih pasti lagi, dapatkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang mempunyai label.

-Mendapatkan bekalan dari pertanian organik

Kaedah penanaman organik dihasilkan secara semula jadi tanpa menggunakan bahan kimia dan racun perosak. Ia menggunakan baja organik. Hasil pertanian organik lebih mahal tetapi lebih selamat untuk dimakan.

Di samping memastikan sayur-sayuran dan buah-buahan bebas daripada racun perosak, pengguna perlu tanaman itu selamat dimakan, bersih dan mempunyai kandungan zat makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:01 AM
Digital NSTP Subscribe