DIAZ (tengah) disekat pertahanan Kelantan.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Jaringan tunggal Jorge Pereyra Diaz memastikan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) terus kekal mengungguli takhta teratas Liga Super selepas menewaskan Kelantan 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Seawal minit ke-11, sudah ada kesungguhan skuad Harimau Selatan memburu gol apabila gerakan yang dimulakan Mohd Azinee Taib dan kapten Safiq Rahim hampir menghasilkan jaringan tetapi palang menyelamatkan Kelantan walaupun ketika itu Khairul Fahmi Che Mat sudah tertewas.

Serangan bertali arus tuan rumah nyata mengundang cemas buat skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) selepas Mohd Azinee yang melakukan sepakan lintang pada minit ke-24 disambar Diaz namun bola sepakan penyerang import dari Argentina itu liar.

Hantaran lintang Mohd Azinee pada minit ke-29 hampir menghasilkan jaringan sendiri selepas terkena pertahanan pelawat Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim namun Khairul Fahmi sempat menepis.

Nasib nyata tidak menyebelahi tuan rumah pada minit ke-35 selepas rembatan Lucero singgah di palang.

Sebaik babak kedua bermula, hasrat tuan rumah untuk merungkai jaringan terhasil pada minit ke-46 selepas hantaran Safiq disambar Azamuddin Akil sebelum membuat tolakan kepada Diaz dan mudah menanduk menewaskan Khairul Fahmi.

Pelawat hampir menyamakan jaringan selepas hantaran Azinee disambar Blazhe Ilioski namun bola sepakan pemain itu sedikit tersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 11:18 AM