SUASANA di atas bot pelancong ketika pergaduhan antara pemandu bot dan sekumpulan pelancong dipaparkan dalam video yang menjadi viral. FOTO ihsan pembaca
SUASANA di atas bot pelancong ketika pergaduhan antara pemandu bot dan sekumpulan pelancong dipaparkan dalam video yang menjadi viral. FOTO ihsan pembaca
Hamzah Osman


Langkawi: Satu klip video memaparkan pertengkaran dan pergaduhan antara pemandu bot dengan sekumpulan pelancong dipercayai warga Arab di pangkalan nelayan di sini menjadi viral di media sosial sejak semalam.

Klip video berdurasi 1.14 saat itu memaparkan aksi tolak-menolak dan tindakan kasar kedua-dua pihak dipercayai berlaku sejurus bot pelancong yang beroperasi membawa pelancong menjelajah pulau sekitar perairan Tanjung Rhu tiba di pangkalan nelayan di sini.

Keadaan dilihat menjadi semakin tegang apabila seorang rakan pemandu bot terbabit yang cuba campur tangan untuk menyuraikan pergaduhan itu turut memegang sebatang spanar.

Bagaimanapun, spanar itu dirampas oleh seorang individu yang berada atas bot itu bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

Klip video itu tersebar di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp serta mendapat pelbagai komen dan kritikan.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian pergaduhan yang menjadi viral.

"Setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak yang berkaitan dalam pergaduhan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 12:08 PM