PELAJAR SK Pinapak mendapat bantuan beg galas.
SEBAHAGIAN sukarelawan #FIXPITAS mengangkut barangan bantuan untuk pelajar SK Pinapak.
MURID SK Pinapak mengangkut bantuan melalui jambatan gantung.

Pastinya sesi persekolahan 2015 menjanjikan keceriaan kepada 200 murid Sekolah Kebangsaan Pinapak di Pitas Sabah, di Kampung Pinapak, sebuah penempatan etnik Rungus di Parliman Kudat, Sabah.

Kedudukan geografi kampung ini di pedalaman daerah Pitas, menjadi penghalang utama untuk bantuan luar tiba. Justeru, selepas membuat tinjauan di kampung Pinapak lebih dua bulan, Institut Onn Ja'afar (IOJ), sebuah badan bukan kerajaan menghulurkan bantuan segera kepada 200 murid sekolah terbabit termasuk murid-murid prasekolah.

Program #FIXPITAS-Road To Pitas Embracing Youth ini dilaksanakan dengan kerjasama pelajar tahun akhir Perhubungan Awam Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Seramai 30 pelajar menyahut cabaran IOJ untuk menghulurkan bantuan kepada murid-murid sekolah Pinapak.

Program itu juga serampang dua mata untuk menyemarak aspek kesukarelawan dalam kalangan pelajar UiTM.

Ketua Pengawai Eksekutif IOJ, Charles Mohan berkata, program #FIXPITAS selaras dengan misi dan visi IOJ membantu golongan daif dan terpinggir.

Beliau berkata, IOJ menghulurkan bantuan segera sementara menunggu bantuan menyeluruh kepada kumpulan sasar.

"Murid-murid di sekolah ini amat memerlukan bantuan dari segi persiapan persekolahan terutama beg sekolah, peralatan, tuala, kotak pensil, buku cerita dan cat.

"Selain itu, Yayasan YTL menyumbang lima komputer riba untuk kegunaan murid.

"Kami berharap bantuan ini meringankan bebanan keluarga murid-murid miskin. Ini yang menjadi aspirasi penaung IOJ, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memastikan golongan sasar menerima bantuan pada kadar segera.

Selepas mendapat kerjasama ADUN Pitas, Datuk Bokiah Ismail, peserta program #FIXPITAS membawa 46 kotak barangan keperluan sekolah meredah jalan berliku-liku selama sejam termasuk melalui jambatan gantung sejauh 800 meter menyeberangi Sungai Bengkora.

Bagi Prof Madya Dr Kiranjit Kaur yang memantau program itu, beliau gembira kerana penduduk kampung turut membantu membawa bantuan kepada pelajar sekolah.

"Program ini memberi pengalaman di luar jangkaan kepada pelajar-pelajar saya.

"Saya gembira kerana sukarelawan sanggup meredah hutan hampir selama jam dengan berjalan kaki untuk menyertai program ini,lebih-lebih lagi ketika cuti persekolahan.

"Begitu juga dengan murid-murid dan ibu bapa yang sanggup datang dari rumah yang jauh semata-mata untuk menyertai program #FIXPITAS," katanya.

Bagi Pengarah program, Asya Amira Abdul Rasol, program itu amat bermakna kerana kini ramai sudah tahu di mana kawasan Pitas padahal kedudukannya jauh di pedalaman.

Beliau berkata, antara aktiviti yang dijalankan ialah program mentor-menti, sukaneka dan inspirasi menuju ke menara gading.

"Kami turut menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada murid-murid supaya belajar dengan tekun dan melangkah masuk ke menara gading.

"Ini kerana dengan pendidikan, murid-murid ini dapat mengubah nasib kampung mereka," katanya.

Bagi Yayasan YTL yang menghulurkan lima komputer riba atau cromebook kepada SK Pinapak, bantuan lain akan menyusul.

Menurut Pengurus Program Yayasan YTL, Alex Au Yong Wai Weng, YTL akan terus mengadakan lawatan ke kawasan ini untuk menilai sama ada program lain cetusan idea syarikat ini dapat dilaksanakan di Pinapak dan kampung berdekatan.

#FIXPITAS turut memberi tumpuan kepada bumbung kantin sekolah yang diperbuat daripada daun pokok nipah.

Kantin untuk murid-murid makan dan minum tidak sesuai lagi digunakan, justeru ia perlu diubahsuai demi memastikan keselesaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:01 AM