Kuala Lumpur: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mencatatkan peningkatan sebanyak 12 peratus keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM376 juta dan pertumbuhan perolehan 10 peratus dari tahun ke tahun sebanyak RM3.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan berakhir 31 Januari 2015.

Prestasi baik yang direkodkan itu disumbangkan menerusi perluasan jumlah pelanggan asas berikutan permintaan kepada produk dan perkhidmatan nilai tambah, kenaikan pendapatan iklan serta pengurusan kos yang cekap.

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, syarikat akan terus mengukuhkan aliran tunai dan keuntungan syarikat pada masa depan.

“Ahli lembaga pengarah mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 2.25 sen sesaham menjadikan keseluruhan jumlah dividen bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2015 kepada 6.75 sen sesaham iaitu 12.5 peratus lebih tinggi berbanding 6.0 sen sesaham bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata, sebanyak 62 peratus isirumah Malaysia menggunakan Astro dengan jumlah pelanggan asas 4.3 juta meliputi rangkaian televisyen percuma NJOI hingga kepada rangkaian berbayar selain Astro on the Go (AOTG) dan OTT.

“Kami juga menyaksikan peningkatan permintaan kepada perkhidmatan Definisi Tinggi (HD) dengan lebih 1.9 juta pelanggan, peningkatan sebanyak 45 peratus perkhidmatan rakaman video peribadi kepada 679,000 langganan dan kenaikan 29 peratus dalam jumlah pelanggan pelbagai bilik kepada 372,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:02 AM