PENGGAMBARAN dilakukan dua tahun lalu.
WATAK Uda dan Dara bawa kekuatan untuk filem ini.
Ridzuan Abdul Rahman


Kreativiti yang ada perlu digunakan sebaik mungkin. Ini prinsip pengarah, Khairul Azri Md Noor, 35, apabila mengarahkan filem pertamanya berjudul Pekak.

Pengalaman terbabit dalam pembikinan iklan dan video muzik memberikan banyak warna dan pengalaman dalam kerja pengarahannya.

Sehubungan itu, ini yang cuba diterjemahkan dalam filem terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures yang menggabungkan pelakon Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.

“Idea asal cerita ini berbeza, tetapi diubah supaya lebih mantap. Saya juga nak sampaikan mesej mengenai pembalasan serta karma di sebalik kecacatan yang dialami Uda,” katanya.

Watak Uda yang dilakonkan Zahiril ialah seorang pengedar dadah pekak yang menjual dadah bagi mengumpul wang untuk membiayai pembedahan telinganya.

“Wang itu akan digunakan Uda untuk pembedahan telinganya. Dia memang nak sangat kembalikan deria pendengarannya seperti orang biasa,” katanya.

Khairul berkata, intipati cerita begini jarang ditonjolkan dalam filem tempatan dan dia cuba melakukan kelainan dalam arahan sulungnya ini.

“Selalunya masyarakat melihat orang kurang upaya (OKU) sebagai individu yang baik, tapi kali ini saya cuba ubah ke arah yang sedikit hitam. Bagaimanapun, ia bukan untuk menunjukkan sisi buruk sesiapa kerana tujuannya adalah untuk memberi pengajaran.

“Uda memilih jalan yang salah dan pilihannya itu membuatkan dirinya kelihatan negatif pada masyarakat. Selain itu, saya turut masukkan beberapa watak lain bagi menambah tarikan iaitu Dara (Sharifah Amani), Melur (Sharifah Sakinah), Azman (Amirul) dan Kamil (Iedil Putra),” katanya.

Menurut Khairul, Pekak sebuah filem bajet rendah, tetapi dia tetap menghasilkannya seperti filem cereka lain.

“Dalam filem ini watak utamanya tak boleh bercakap dan agak sukar buat Zahiril. Dia tiada dialog tertentu dan kena lebihkan permainan emosi serta lenggok badan.

“Saya sangat bertuah kerana akhirnya diberikan peluang mengarah filem. Ditambah lagi dengan adanya barisan pelakon yang mantap mampu menguatkan lagi filem ini. Kami berbincang sebelum penggambaran dimulakan. Saya tahu mereka semua ada karakter sendiri, tapi ada beberapa perkara yang saya nakkan dan mereka kena ikut.

“Mereka juga ada bagi input yang membantu karakter. Lagipun watak dalam cerita banyak berdasarkan kepada pengalaman dan apa yang dilihat di depan mata,” katanya.

Filem genre dramatik ini mula menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur pada 2014 dan akan menemui penonton pada 1 September ini.

Bibit kejayaan mula terlihat apabila Pekak tercalon dalam kategori Best International Film di World Premieres Film Festival Philippines 2016 serta ditayangkan di Marche Du Film Cannes tahun ini.

Pekak mengisahkan mengenai seorang pengedar dadah bernama Uda yang cacat pendengaran. Uda mahu menggapai cita-cita untuk kembali mendengar, dimana dia akhirnya terjerumus dalam aktiviti penjualan dadah bagi menampung pembiayaan implan kokleanya.

Takdir akhirnya menemukan Uda dengan Dara, seorang pelajar sekolah bermasalah yang ingin melarikan diri daripada bapanya yang terlalu mengongkong.

Hubungan yang luar biasa ini mula menerbitkan bibit-bibit cinta antara mereka, namun mereka terpaksa menghadapi cabaran dunia yang penuh dengan keganasan, seks dan dadah.

Filem ini turut dibintangi Zaidi Omar, Joe Flizzow dan Chew Kin Wah sebagai penampilan khas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 12:05 PM