APLIKASI ‘Culture Explorer’ diperkenalkan. FOTO Ghazali Kori
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Samsung Malaysia Electronics memperkenalkan aplikasi teknologi ‘Augmented Reality’ (AR) berasaskan lokasi pertama dikenali ‘Culture Explorer’ bagi membolehkan pengguna mempelajari warisan Malaysia.

Pengarah Hal Ehwal Korporatnya, Datuk Roh Jae Yeol berkata, aplikasi yang dibangunkan dengan fungsi unik itu berperanan sebagai pemandu pelancong maya untuk membantu pengguna menerokai lokasi tarikan pelancong di negara ini.

“Aplikasi ini dibangunkan dengan kerjasama pelbagai organisasi lain yang turut membantu menyediakan maklumat pendidikan bagi lokasi pelancongan negara sekali gus akan menjadi platform kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menyusuri budaya dan warisan unik Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran ‘Cultuer Explorer di sini, hari ini.

Sehingga kini, ‘Culture Explorer’ mengandungi maklumat bersejarah mengenai Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur dan The Stadthuys, Melaka.

Lebih banyak maklumat mengenai tarikan pelancongan lain akan dikemaskini daripada masa ke masa.

‘Culture Explorer’ sesuai untuk semua jenis telefon pintar dan tablet dan ia boleh dimuat turun secara percuma daripada Google Play Store. Tiada pendaftaran diperlukan untuk pengguna menikmati akses penuh aplikasi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 6:37 PM