MENGHADAPI masalah untuk bergerak kerana sakit di kaki kiri.
Mohd Sah Muda


Ramai tidak menyangka pondok usang di Kawasan Buku Hijau Kampung Pengkalan Batu, Mersing, Johor, dihuni seorang warga emas, Zainindin Maarof, 78, sejak lebih 13 tahun lalu.

Zainindin atau lebih dikenali sebagai Pak Din berkata, dia menumpang berteduh di pondok berkenaan atas belas kasihan seorang penduduk kampung berkenaan.

Katanya, walaupun tiada bekalan air paip dan elektrik, dia selesa di pondok usang itu yang terletak kira-kira satu setengah kilometer dari kampung berkenaan melalui jalan tanah merah yang hanya boleh dilalui basikal dan motosikal.

“Kadang-kadang ada juga rakan menghantar makanan, juadah berbuka puasa dan menghulurkan sedikit wang,” katanya ketika ditemui di pondok itu, baru-baru ini.

Ramadan lalu, dia tetap meneruskan ibadah puasa walaupun hidup sebatang kara.

Pak Din berkata, sebelum itu dia pernah tinggal di Desa Bina Diri (DBD), sebuah pusat pemulihan kutu rayau di Kampung Sawah Datuk, Mersing, lebih dua tahun.

Bagaimanapun, dia dikeluarkan dari pusat itu dengan alasan sudah boleh berdikari.

“Ketika di DBD, saya ditugaskan menjaga tandas awam di Restoran Rehat di Pusat Pelancongan Mersing. Selepas keluar dari situ saya bertemu seorang penduduk di Kampung Pengkalan Batu yang membenarkan saya tinggal di sini hingga kini,” katanya.

Pak Din berkata, dia yang berasal dari Suluh Rantau, Jalan Linggi, Negeri Sembilan, tidak pernah berkahwin.

Dia mempunyai dua adik perempuan yang sudah berkeluarga, manakala ibu bapanya sudah meninggal dunia. Dia tak pernah menghubungi adik-adiknya kerana tidak mahu menyusahkan mereka.

Katanya, dia pernah tinggal di Kuala Lumpur dan menjadi pemandu lori bagi laluan Ipoh-Johor Bahru selama beberapa tahun, namun terpaksa berhenti disebabkan menghadapi masalah darah kotor.

Disebabkan menghidap penyakit itu, dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur. Dia kemudian dihantar ke Rumah Sri Kenangan, Cheras, sebelum ditempatkan di DBD.

“Saya kini uzur kerana sudah tua. Tak boleh berjalan seperti biasa kerana kaki kiri bengkak. Meskipun sudah dapatkan rawatan di hospital, ia masih belum sembuh,” katanya.

Pak Din yang kini tidak mampu bekerja hanya mengharapkan belas ihsan penduduk sekitar dan pemilik pondok berkenaan.

“Saya merayu kepada pihak berkaitan agar dapat menyalurkan bantuan bulanan bagi membolehkan saya menghabiskan sisa hidup di pondok usang ini dengan sempurna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 5:50 AM