Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara Goh Liu Ying percaya setiap pasangan mempunyai peluang meraih pingat di pentas Olimpik Rio yang bermula awal bulan depan.

Jelas Liu Ying, tiada pasangan boleh mendabik dada dalam kategori mereka kerana tiada pasangan yang dominan.

Liu Ying yang bergandingan dengan Chan Peng Soon di Olimpik Rio melakar sejarah tersendiri apabila menjadi beregu campuran pertama negara mara ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Malah pasangan ke-10 dunia itu turut mahu menyumbang pingat selepas hanya perseorangan lelaki dan beregu lelaki negara yang menaiki podium di Olimpik selama ini.

“Setiap pemain berpeluang meraih pingat, tiada siapa boleh mengatakan mereka juara. Kami akan memberikan tentangan sepenuhnya pada setiap perlawanan.

“Persediaan kami berada di landasan tepat, jadi saya berharap mampu melakar kejutan di Rio nanti,” jelas pemain berusia 27 tahun itu.

Pasangan beregu campuran negara itu antara yang dilabel mampu melakar kejutan selain sandaran utama terhadap Datuk Lee Chong Wei.

“Saya pasti tekanan akan berbeza di Olimpik, keadaan pasti lebih tegang berbanding kejohanan besar lain namun kami sudah bersedia menghadapinya.

“Saya berharap tempoh 10 hari tiba lebih awal di Rio mampu membantu kami membiasakan diri dan mendapat rehat yang secukupnya sebelum memulakan pertandingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 6:41 AM