PASUKAN mencari dan menyelamat mengangkat mayat budak pantai Muhammad Luqman Mohd Izshahan, 17, yang ditemui lemas di Pantai Chenang, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
PASUKAN mencari dan menyelamat mengangkat mayat budak pantai Muhammad Luqman Mohd Izshahan, 17, yang ditemui lemas di Pantai Chenang, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang remaja yang juga budak pantai ditemui mati lemas pagi tadi selepas hilang kira-kira 13 jam akibat terjatuh dari jet ski yang ditunggangi di Pantai Chenang di sini.

Mangsa, Muhammad Luqman Mohd Izshahan, 17, dari Kampung Baru Panggas, Kangar, Perlis ditemui terapung kira-kira 200 meter dari tempat dia terjatuh oleh pasukan mencari dan menyelamat(SAR) pada jam 8.45 pagi.

Difahamkan ketika kejadian mangsa cuba membantu rakannya yang terkandas di tengah laut selepas jet ski rosak namun Muhammad Luqman terjatuh sebelum hilang.

Ketua Bomba Zon Langkawi Penguasa Bomba Fazdlullah Mohd Noor, berkata operasi SAR diketuai Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi dimulakan pada 6.35 petang semalam sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

"Operasi SAR yang turut disertai polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APPM( dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kemudian ditangguhkan pada jam 7.40 malam tadi akibat ombak besar dan cuaca gelap sebelum disambung semula jam 7.30 pagi hari ini.

"Mayat mangsa ditemui terapung berhampiran batu besar oleh rakan-rakannya yang turut menyertai SAR pada jam 8.45 pagi sebelum memaklumkan kepada pasukan bomba," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, sebentar tadi.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 10:56 AM
Digital NSTP Subscribe