Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Bekas Pengarah Eksekutif Kencana Petroleum Berhad, Yeow Kheng Chew dan dua lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga tuduhan bersubahat dan memperoleh 1.159 juta unit saham syarikat itu menerusi urus niaga dalaman, pada 2011.

Ketiga-tiga tertuduh, Yeow, 64, Paulene Chee Yuet Fong, 56 dan Tan Yee Chee, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan dihadapi Yeow, dia didakwa memperoleh 1.159 jutaunit saham Kencana Petroleum Berhad melalui akaun Sistem Depositori Pusat milik Paulene mengenai cadangan penggabungan perniagaan Kencana Petroleum Berhad Group dan SapuraCrest Petroleum Berhad Group.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini, pada 8 Julai 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Mahkamah membenarkan Yeowd diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin manakala dua lagi tertuduh yang lain RM800,000 dengan dua penjamin serta menetapkan 11 Ogos ini sebagai pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 11:42 AM