GAMBAR hiasan.
Norsyahirah Marzuki


Cyberjaya: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Selangor yang memperkenalkan aplikasi telefon pintar untuk membayar caj meletak kereta sekitar daerah Sepang.

Timbalan Yang Dipertua MPSepang Muhammad Hafiz Shaari berkata, aplikasi ini akan digunakan mulai Ogos ini.

Katanya, melalui aplikasi MPSepang Fleksi Parking ini mereka hanya perlu membayar caj parkir kereta melalui telefon pintar tanpa mencari mesin bayar dan peraga atau ejen jualan kupon letak kereta.

"Bagaimanapun, aplikasi ini tidak akan mengganti atau melupuskan sistem tempat letak kereta sedia ada malah memberi pilihan kepada pengguna letak kereta yang dapat menjimatkan masa mereka.

"Kita adalah PBT pertama di Selangor menggunakan aplikasi ini selaras dengan perkembangan semasa teknologi sejajar dengan ikon Cyberjaya sebagai pusat teknologi," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Aplikasi MPSepang Flexi Parking di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Penolong Pengurus Pemasaran dan Korporat Suasa Efektif (M) Sdn Bhd Rosli Mat Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif LITS Solutions Sdn Bhd Lai Thiam Sin.

Katanya, aplikasi itu juga memudahkan pihaknya terutama penguatkuasa untuk memeriksa maklumat melalui alatan mudah alih yang menggunakan sistem sama bagi mendapatkan pengesahan nombor pendaftaran kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta.

"Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan resit digital yang diberikan melalui aplikasi dan emel sebagai bukti pembayaran malah boleh digunakan untuk sebarang tuntutan," katanya.

Beliau berkata, aplikasi terbabit boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar sejak 15 Julai lalu dan mengisi maklumat sebelum menambah nilai bermula RM5 hingga RM20.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 3:01 PM