Keadaan motosikal ditunggang mangsa dan tunang kepada mangsa yang menunggu di bilik mayat HTJ Seremban. FOTO ihsan pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


Nilai: Lelaki berusia 28 tahun yang bakal berkahwin dua minggu lagi, maut selepas motosikal ditunggang bergesel dengan kereta sebelum diseret beberapa meter oleh kereta itu di Kilometer 270.5 Lebuhraya PLUS arah utara, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, pagi tadi.

Mangsa, Mohd Rabbani Zahid yang menunggang motosikal Yamaha 135LC meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, kemalangan pada 8.45 pagi itu dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa dari arah belakang memintas kereta Nissan Almera sebelum bergesel.

"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa terbabas ke lorong kecemasan dan melanggar penghadang jalan sebelum diseret kereta berkenaan beberapa meter," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Kampung Baru, Kuala Lumpur, dari rumahnya di Temiang, Seremban.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 4:40 PM