GAMBAR hiasan.
Farah Suhaidah Othman


Kampung Gajah: Seorang penunggang motosikal maut, manakala pemboncengnya seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun parah selepas motosikal dinaiki terbabas ke dalam parit di Jalan Tok Paduka Raja, di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian pada jam 12.45 tengah hari itu, mangsa Foziah Ahmad, 54, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan ke Klinik Kesihatan Kampung Gajah, manakala Mohamad Shafiq Ikmal Khairul Anuar, 7, cedera parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Sekolah Rendah Kebangsaan Tanjung Bidara pulang ke rumah melalui Jalan Tok Paduka Raja.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit di sebelah kiri bahu jalan.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Kampung Gajah oleh orang awam.

"Bagaimanapun, mangsa yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalan ke klinik berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 7:48 PM