BANGUNAN Wakaf Setee Aisah antara bangunan yang dibangunkan di atas tanah wakaf.
BANGUNAN Wakaf Setee Aisah antara bangunan yang dibangunkan di atas tanah wakaf.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Industri hartanah di Malaysia terus menunjukkan trend pertumbuhan yang positif melalui beberapa rangsangan jenis hartanah yang pelbagai dan antaranya adalah hartanah wakaf.

Hartanah wakaf kini dilihat sebagai pembangunan yang mampu merancakkan sektor terbabit yang sedikit suram pada separuh pertama tahun ini serta mempunyai potensi untuk penjanaan ekonomi yang lebih berdaya tahan serta prospek pelbagai.

Pengerusi Eksekutif Urusan Maju Ehsan (M) Sdn Bhd (UME), Mohd Azli Md Yusof berkata, konsep pembangunan hartanah wakaf adalah antara mekanisme yang dapat dijadikan sebagai platform bagi memastikan tanah-tanah wakaf dapat dimanfaat sebaik mungkin untuk generasi hari ini dan akan datang.

“Separuh pertama tahun ini, momentum segmen hartanah adalah sedikit perlahan dengan berlakunya ketidaktentuan mengenai permasalahan dalam industri, namun kita yakin melalui medium hartanah wakaf, ia akan kembali pulih.

“Apa yang pasti, hartanah wakaf mempunyai banyak potensi dari banyak aspek jadi usaha untuk membangunkannya dilihat berupaya untuk menyumbang kepada manfaat untuk semua pihak,” katanya kepada Bisnes Metro.

Mengikut perangkaan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), sehingga penghujung 2014 jumlah keseluruhan tanah wakaf am dan khas adalah seluas 11,091.82 hektar dengan nilai semasa berjumlah RM1.177 bilion.

Malah, bagi negeri Selangor, terdapat 480 hektar tanah diwakafkan daripada jumlah berkenaan, tiga peratus dibangunkan untuk projek perumahan dan komersial manakala bakinya diwakaf khas oleh pemilik untuk dijadikan masjid dan institusi pendidikan.

Antara projek pembangunan hartanah wakaf termasuk Hotel Pantai Puteri (Melaka), Hotel Klana Beach Resort (Negeri Sembilan), pembinaan unit kediaman kos sederhana (Pulau Pinang), Hotel Grand Puteri (Terengganu) dan Hotel The Regency Seri Warisan (Perak).

Sementara itu, Mohd Azli berkata, prospek hartanah wakaf adalah begitu cerah dengan mengambil kira isu ekonomi serta sosial yang melanda masyarakat Islam ketika ini.

“Hartanah wakaf adalah salah satu mekanisme mekanisme di mana perancangan teratur perlu dilakukan dalam membangunkan sesuatu pembangunan tanah wakaf bagi memberi pulangan lebih baik dari sudut ekonomi dan juga kemasyarakatan.

“Bagaimanapun, kerjasama dari semua pihak khususnya pihak berkuasa berkaitan serta masyarakat Islam diperlukan seiring dengan inisiatif yang dijalankan oleh Pemegang Amanah Tunggal Wakaf dan yakin ekonomi dapat dipertingkatkan menerusi institusi wakaf,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran semasa hartanah wakaf, Mohd Azli berkata, peningkatan kos pembangunan serta lokasi tanah wakaf yang berada pada kedudukan yang kurang strategik menjadi cabaran utama segmen itu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, UME turut mengadakan perbincangan dalam membentuk kerjasama dengan institusi kewangan kewangan dan korporat dalam merancakkan hartanah wakaf.

Katanya, pelbagai program akan dilaksanakan dalam mempelbagaikan konsep pembangunan hartanah wakaf seperti menceburi sektor kesihatan, pendidikan dan banyak lagi segmen lain yang berpotensi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:10 AM