PEMAIN Melaka United Iskandar Hanapiah (kanan) mengasak pemain FELDA United Idris Ahmad di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Nazri Abu Bakar


Melaka: FELDA United membuktikan kehebatan selaku pasukan pilihan selepas menewaskan Melaka United (MU) 1-0 pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Turun dengan misi memburu kemenangan, FELDA United mula memberi tekanan kepada MU seawal babak permainan walaupun mereka beraksi di depan lebih 15,000 penyokong setia tuan rumah.

Peluang terbaik The Fighters untuk meledak jaringan terhasil pada minit-23 tetapi rembatan Forkey Doe tepat ke dakapan penjaga gol MU Ahmad Solehin Mamat.

Percubaan bekas pemain Selangor itu pada minit ke-33 turut tersasar manakala tandukan kapten Mohd Shukor Adan tidak lama selepas itu tidak menepati sasaran.

Anak buah Mat Zan Mat Aris juga bertindak agresif untuk mencipta gerakan menarik dalam misi membolosi gawang pelawat namun beberapa percubaan mereka tidak membuahkan hasil.

Pelawat hampir di depan pada minit ke-45 tetapi rembatan kencang Zah Krangar berjaya diselamatkan Solehin.

Bersambung babak kedua, Jayaseelan hampir berjaya membocori gawang tuan rumah pada minit ke-53 tetapi usahanya menemui kegagalan sambil cubaan bintang MU Spasojevic pada minit ke-66 turut tidak menghasilkan jaringan.

Ketika permainan kelihatan bakal berakhir dengan keputusan seri, tandukan Shukor pada minit ke-87 menerjah jaring tuan rumah sekali gus membuatkan Stadium Hang Jebat terdiam seketika.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:20 AM