AFP

Beijing: Polis China semalam melancarkan gerakan memburu lebih 100 pengantin perempuan warga Vietnam yang hilang selepas berkahwin dengan lelaki miskin dari kawasan pedalaman.

Menurut laporan, kehilangan wanita itu mungkin diatur oleh satu sindiket terancang.

Lelaki terbabit dari Quzhou di wilayah Hebei, tengah China, dikenalkan kepada wanita berkenaan oleh Wu Meiyu, seorang wanita warga Vietnam yang sudah mendiami kawasan itu sejak 20 tahun lalu.

Wu yang menerima bayaran 100,000 yuan (RM56,600) jika perkenalan itu berakhir dengan perkahwinan, hilang bersama-sama wanita terbabit.

Seorang lelaki, antara yang membayar 115,000 yuan (RM65,000) untuk berkahwin dengan wanita Vietnam berkenaan diberitahu oleh bapa mentua Wu, dia kini berada di luar daerah untuk menguruskan permit bagi membolehkan pengantin perempuan itu menetap di China.

Sebuah akhbar tempatan memetik seorang pegawai sebagai berkata, satu sindiket terancang mungkin terbabit dalam kehilangan beramai-ramai itu.

“Dengan teknologi komunikasi canggih hari ini, mudah bagi semua wanita itu pergi serentak,” kata pegawai berkenaan.

Mencari isteri dari negara Asia Tenggara sudah menjadi perkara biasa di beberapa kawasan pedalaman China, tempat ketidakseimbangan jantina berlaku kerana amalan tradisi untuk mendapatkan anak lelaki serta kesan dari dasar perancang keluarga negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:05 AM