KECEDERAAN kepala antara penyumbang kes tertinggi di bahagian kecemasan hospital.
KECEDERAAN kepala akibat kemalangan ketika bersukan.
Zaitie Satibi


Kecederaan kepala adalah masalah perubatan yang paling mudah dicegah tetapi paling kerap dialami. Di seluruh dunia, kemalangan jalan raya adalah punca paling tinggi untuk kecederaan kepala, selain kemalangan di rumah, tempat kerja dan bersukan.

Epidemik global yang diabaikan ini menjadi kebimbangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pernah dibangkitkan pada Hari Kesihatan Sedunia 1961 dengan tema Kemalangan dan Pencegahannya.

Ini kerana, pada masa itu kemalangan menjadi punca utama kematian dan wabak baru bagi kepentingan kesihatan awam. Amat menyedihkan apabila kemalangan masih lagi epidemik yang tidak dapat diselesaikan selepas 55 tahun.

Berdasarkan Laporan Keselamatan Jalan Raya WHO 2015, kadar kematian global akibat kemalangan adalah 17.4 orang dalam setiap 100,000 populasi, manakala di Malaysia kadarnya dianggarkan 24 orang dalam setiap 100,000 populasi.

Kadar ini adalah jauh lebih tinggi untuk negara kita yang dilengkapi dengan akses kecemasan yang cekap dan penjagaan untuk mangsa jalan raya. Ini termasuk nombor telefon tunggal untuk semua kecemasan, kecekapan perkhidmatan ambulans dan doktor serta paramedik terlatih untuk perubatan kecemasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Laporan Sistem Pengurusan Maklumat Kesihatan Malaysia 2014 menyatakan trauma menyumbang kepada 11.65 peratus daripada keseluruhan pelawat ke bahagian kecemasan di hospital kerajaan.

Kecederaan adalah prinsipal kedua tertinggi punca pelawat baru di klinik pakar dan ketiga tertinggi sebab prinsipal di bahagian kecemasan hospital kerajaan. Malah, kecederaan kepala adalah penyebab diagnosis paling kerap untuk dimasukkan ke wad neurosurgeri di semua hospital kerajaan.

“Pada 2014, 80.3 peratus kecemasan neurosurgeri membabitkan kecederaan kepala dan 8.7 peratus kematian daripada jumlah keseluruhan kemasukan ke wad neurosurgeri disebabkan kecederaan kepala.

“Kematian dan morbiditi disebabkan kecederaan kepala boleh dikurangkan dengan meminimumkan kecederaan otak darjah kedua.

“Penjagaan prahospital yang cekap dan pengangkutan untuk pesakit adalah dua faktor penting dalam menentukan rawatan terbaik dalam kalangan pesakit dengan kecederaan kepala sejurus tiba di jabatan kecemasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penambahbaikan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan kecemasan juga penting. Malah, pengetahuan dan latihan dalam pengurusan kes trauma akut dalam kalangan semua penyedia penjagaan kesihatan juga sama penting.

“Pengenalan garis panduan berasaskan bukti dalam pengurusan kecederaan kepala awal dalam kalangan orang dewasa adalah tepat pada masanya.

“Sistem rujukan yang sistematik termasuk penggunaan teleperunding dan protokol untuk pemindahan selamat pesakit digariskan dalam panduan itu adalah penting untuk mengoptimumkan bilangan hospital yang terhad dengan perkhidmatan subkepakaran neosurgeri.

“Ini akan membantu mewujudkan pautan yang tidak ada dalam usaha kita untuk membekalkan pengurusan awal kecederaan kepala yang berkesan dan selamat,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan Panduan Amalan Klinikal (CPG) oleh semua penyedia penjagaan kesihatan juga boleh membantu mengurangkan variasi amalan klinikal semasa dan untuk membekalkan penjagaan optimum kepada semua pesakit dengan kecederaan kepala.

“Kementerian Kesihatan bermatlamat untuk menyediakan subkepakaran neurosurgeri yang menguruskan kecederaan kepala yang rumit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan di 13 hospital negeri. Ini digariskan dalam rangka kerja kepakaran dan subkepakaran dalam laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (2010-2015).

“CPG dalam Pengurusan Awal Kecederaan Kepala Dewasa merangkumi pelbagai aspek pengurusan awal kecederaan kepala seperti penilaian awal, triaj, pengimejan, pengurusan am, penggunaan ubatan tertentu seperti antikoagulan (pencair darah) atau antiplatlet, nasihat discaj dan susulan.

“Ada banyak algoritma dan lampiran untuk menyediakan pemahaman lebih baik mengenai pengurusan kecederaan kepala. Pihak kementerian sentiasa menyokong sebarang usaha yang bermatlamat menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Ini termasuk pelbagai strategi pelaksanaan CPG yang boleh membantu untuk melengkapkan penyedia penjagaan kesihatan dengan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan apabila menguruskan pesakit dengan kecederaan kepala,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, latihan untuk tenaga pengajar teras seluruh negara berasaskan modul latihan CPG akan dikendalikan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:01 AM