X
AP

Hockenheim: Nico Rosberg (gambar) menewaskan rakan sepasukan Mercedes dan pendahulu kejuaraan Formula Satu Lewis Hamilton untuk menduduki petak pertama Grand Prix Jerman hari ini.

Rosberg mencatat masa terpantas dalam ketiga-tiga sesi latihan dan mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan ketiga semalam, menampilkan aksi cemerlang pada pusingan terakhir selepas mengalami masalah ketika menekan minyak.

“Pusingan yang hebat, terutamanya memandangkan saya mempunyai lebihan bahan api, saya mempunyai bahan api untuk tiga pusingan jika ada sesuatu yang tidak kena dan perlu melakukan pusingan tambahan,” kata Rosberg selepas menempah petak pertama ke-26.

Hamilton berada 0.17 saat di belakang Rosberg, manakala Daniel Ricciardo dan Max Verstappen berada di barisan kedua untuk Red Bull.

Dua pelumba Ferrari Kimi Raikkonen dan Sebastian Vettel berada di barisan ketiga.

Hamilton, juara dunia tiga kali, pemilik dua gelaran terakhir, menang lima daripada enam perlumbaan terakhir dan mendahului Rosberg dengan enam mata.

Rosberg menang perlumbaan terakhir di sini pada 2014 dari petak pertama. Ini adalah petak pertama kelimanya sepanjang musim.

Dia juga bermula dari petak pertama di Hungary Ahad lalu tetapi dipintas Hamilton pada selekoh pertama dan terus menjuarai perlumbaan itu dan mendahului kedudukan pelumba.

“Hujung minggu yang bagus. Saya tiada masalah,” kata Hamilton yang kelihatan kecewa, memberikan jawapan ringkas pada sidang media selepas sesi kelayakan.

“Saya mempunyai kepantasan hari ini, saya tidak dapat menyudahkannya. Ia tidak menjadi. Sepatutnya, ia hari yang menggembirakan Mercedes esok (hari ini),” kata Hamilton.

Pasukan Red Bull berjaya mengatasi dua pelumba Ferrari.

Ferarri gagal meraih sebarang kemenangan selepas 11 perlumbaan tahun ini dengan baki 10 perlumbaan.

“Saya fikir kami semakin hampir dengan Mercedes,” kata Riccardio.

“Pusingan pertama saya pada kelayakan ketiga agak baik dan saya sedar tidak banyak peluang buat saya.

“Kami mungkin mempunyai tayar berbeza untuk perlumbaan dan harapnya ia menjadikan perlumbaan lebih menarik,” kata Ricciardo.

Rakan sepasukan Ricciardo, Verstappen adalah satu-satunya pelumba yang memenangi perlumbaan musim ini selain Rosberg and Hamilton.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:07 AM