Haron hilang sejak enam hari lalu dan operasi mencarinya giat dijalankan. FOTO Safuri Kamarudin
Haron hilang sejak enam hari lalu dan operasi mencarinya giat dijalankan. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Lelaki berusia 63 tahun dilaporkan hilang selepas dilihat buat kali terakhir di kebun kelapa sawit dan getah di Kampung KEDA Teluk Teduri, Baling, enam hari lalu.

Difahamkan, keluarga Haron Yaacob, 63, mangsa membuat laporan di Balai Polis Baling pada Rabu lalu sebelum kejadian dimaklumkan kepada bomba untuk operasi mencari dan menyelamat, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling Penolong Penguasa Bomba Mohd Sufian Alias berkata, pihaknya menerima laporan pada 4.06 petang sebelum 10 anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan laporan awal, mangsa dilihat kali terakhir di kawasan kebun kelapa sawit dan getah kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Katanya, mangsa ada masalah ingatan kerana terjatuh setahun lalu dan dipercayai keluar dari rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga.

"Anggota bomba bersama 50 penduduk dengan kerjasama persatuan kenderaan pacuan empat roda Baling dan kumpulan motosikal scrambler bergerak untuk mencari mangsa di Bukit Keda.

"Setakat ini, operasi masih berjalan bagi mengesan lelaki yang hilang itu," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Bomba (PKB) di Kampung KEDA Telok Teduri, di sini.

Turut menyertai operasi ialah Penghulu Mukim Pulai Badrol Hisham Che Li dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Baling, M Ravi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 8:54 PM