PELBAGAI gelagat peserta menghasilkan lakaran menarik.
PELBAGAI gelagat peserta menghasilkan lakaran menarik.

Sebagai inisiatif mendekati masyarakat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menganjurkan pertandingan seni lukis sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-45 peringkat Kelantan, baru-baru ini.

Pertandingan bertemakan ‘Wajah Alam’ itu terbahagi kepada dua kategori iaitu mengunakan media basah dan kering berlangsung di UMK Bachok, Tangok, Kelantan, selama dua hari.

Dekan FTKW Prof Madya Ab Aziz Shuaib berkata, pertandingan itu antara usaha bersama bagi menghayati alam semula jadi yang makin dilupakan generasi muda.

Pertandingan itu, katanya, dapat mencetuskan kreativiti hasil pemerhatian dan aspirasi pelajar terhadap keajaiban dan fungsi alam semula jadi.

“FTKW menyokong usaha JPNK mendidik dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan dan fungsi jabatan itu dalam usaha memelihara dan memulihara hutan.

“Program ini antara usaha JPNK mendekatkan generasi muda dengan alam semula jadi kerana aktiviti yang dijalankan membuatkan mereka menghargai anugerah alam,” katanya.

Turut hadir Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Siasatan JPNK Mohd Hakimi Zakaria.

Mohd Hakimi berkata, sempena Hari Hutan Antarabangsa 2016 yang disambut setiap tahun, JPNK mengambil inisiatif mendekati masyarakat dengan menjalankan kempen kesedaran dan aktiviti menjurus kepada langkah pengawalan hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 5:01 AM