SEORANG pelajar menunjukkan bakat dalam satu acara sambutan di sekolah.
SEORANG pelajar menunjukkan bakat dalam satu acara sambutan di sekolah.

Pelbagai inisiatif dilakukan pengurusan sekolah bagi memastikan jumlah kehadiran murid sentiasa berada pada peratusan tertinggi.

Sejajar dengan objektif program Guru Penyayang yang dilancarkan Kementerian Pelajaran empat tahun lalu iaitu membudayakan sikap penyayang di sekolah, SK Denai, Rompin, Pahang menggunakan pelbagai pendekatan ‘mesra murid’ untuk mencapai matlamat itu.

Kemesraan 53 murid dengan 11 guru mereka ternyata merangsang minat mereka hadir ke sekolah, apatah lagi ia disusuli pelbagai program menarik.

Terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari bandar Rompin, guru sekolah berkenaan mengambil inisiatif mengadakan pelbagai program, antaranya Hari Aiskrim, sambutan hari jadi dan makan bersama guru besar sebagai penghargaan kepada murid yang mencatat kehadiran tertinggi ke sekolah.

Program yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu itu berjaya meningkatkan jumlah kehadiran dan mengurangkan gejala ponteng sekolah walaupun 17 daripada muridnya yang menetap di Kampung Mentelong terpaksa menggunakan bot untuk berulang alik.

Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid Muhamad Azliza Alwi berkata, inisiatif itu berjaya mengubah jumlah kehadiran apabila sekolah itu merekodkan lebih 82 peratus kehadiran bulanan.

Beliau berkata, Hari Aiskrim program dinanti-nantikan murid apabila pihak sekolah memberi aiskrim percuma kepada mereka sebelum pulang ke rumah.

“Kami memilih secara rawak hari untuk memberi aiskrim bagi mengelak murid hanya hadir untuk mendapatkan minuman itu dan ia diberikan selepas tamat waktu persekolahan.

“Sejak insentif ini diperkenalkan, kami mendapati murid berusaha hadir ke sekolah walaupun ada ketikanya terlewat kerana cuaca buruk.

“Ada ibu bapa terkejut dan berkata anak mereka lebih bersemangat pergi sekolah,” katanya.

Dana menyediakan aiskrim itu adalah melalui Kelab Guru dan Kakitangan Sekolah.

Ketua pelajar Runisya Wadan, 12, berkata, insentif itu berjaya meningkatkan jumlah kehadiran murid ke sekolah.

“Kami jarang dapat menikmati ais krim kerana kedudukan sekolah dan rumah jauh dari bandar.

“Apabila sekolah memperkenalkan program Hari Aiskrim, kami sentiasa teruja ke sekolah.

“Ada ketikanya kami terlepas juga kerana cikgu tak beritahu bila untuk diberikan aiskrim. Siapa yang bernasib baik dan hadir pada hari berkenaan dapatlah makan ais krim, jika tidak kena tunggu hari lain pula,” katanya.

Guru Besar SK Denai Muhamad Kalib berkata, program makan bersama tetamu kehormat turut diperkenalkan dengan memberi ganjaran kepada murid yang mencapai kehadiran 100 peratus selama tiga bulan berturut-turut.

“Apa yang menjadikan ia istimewa ialah murid diberikan hidangan dimasak khas dan berpeluang duduk di kerusi guru besar untuk memakannya.

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini lebih ramai berpeluang menyertai meja tetamu kehormat dan kami perlu menyediakan menu lebih banyak “ katanya.

Majlis sambutan hari jadi turut diadakan setiap tiga bulan dengan murid yang lahir pada bulan dipilih akan naik ke pentas memotong kek dan membawa pulang hadiah.

“Sekolah menyedari tiada seorang pun daripada murid di sini ada peluang menyambut ulang tahun, justeru guru mengambil inisiatif melaksanakannya.

“Pada hari istimewa itu, kami menghiasi dewan sekolah, menyediakan beberapa makanan khas dan memberikan hadiah kepada murid yang menyambut hari jadi,” katanya. -Ainal Marhaton Abd Ghani

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 5:03 AM