IBRAHIMOVIC (kanan) jaring gol pertama United hasil hantaran Valencia.
IBRAHIMOVIC (kanan) jaring gol pertama United hasil hantaran Valencia.
AFP

Gothenburg, Sweden: Pemain baru Zlatan Ibrahimovic melakukan sepakan gunting untuk menjaringkan gol, empat minit selepas menyarung jersi Manchester United buat pertama kali dalam perlawanan persahabatan berakhir dengan kemenangan 5-2 ke atas Galatasaray semalam.

Penyerang handalan itu yang berpindah dari Paris Saint Germain awal musim panas ini akhirnya ‘dilepaskan’ pengurus baru Jose Mourinho di Gothenburg, di negara kelahirannya Sweden.

Dia kelihatannya tidak perlu bersusah payah apabila dalam tempoh 190 saat, Antonio Valencia yang membantu tiga jaringan melakukan hantaran yang disambut sepakan padu Ibrahimovic.

Ia bukanlah voli tercantik dan Mourinho tidak begitu kagum dengannya tetapi ia sudah cukup untuk melantun ke tanah dan menuju ke penjuru kiri gol, memperdayakan Fernando Muslera di depan gawang Galatasaray.

Ibrahimovic, 35, digantikan Marcus Rashford selepas tamat babak pertama apabila Galatasaray mendahului 2-1 menerusi Sinan Gumus dan Bruma.

Wayne Rooney menjaringkan penalti untuk gol kedua separuh masa kedua dimana Marouane Fellaini serta Juan Mata turut menyumbangkan jaringan.

“Kami mempunyai sesuatu yang hebat bakal berlaku. Ia kelihatan amat menarik,” kata Ibrahimovic kepada televisyen Swedish selepas itu.

United menutup mulut terhadap perbincangan dengan Juventus dan pemain tengah Perancis, Paul Pogba manakala media Britain membuat spekulasi bahawa kontrak bernilai tinggi bakal dimuktamadkan.

“Lihat nanti jika Pogba juga akan datang, ia pasti lebih menarik,” kata Ibrahimovic.

Mourinho enggan mendabik dada atas kemenangan terhadap Galatasaray, menjelang perlawanan pertama musim ini menentang Bournemouth 14 Ogos ini dan enggan memuji Ibrahimovic kerana aksi cemerlangnya sebaik menyarung jersi United.

Pemain Sweden Anthony Martial dan Rooney diturunkan dalam skuad menyerang yang turut membariskan seorang lagi pemain baru Henrikh Mkhitaryan.

“Sudah tentu Marcus (Rashford) dan Ibra menunjukkan bayangan kemampuan mereka tetapi sebaik saya melihat pemain seperti Fellaini, Martial dan (Morgan) Schneiderlin, mereka hanya berlatih dua hari sebelum datang ke sini,” kata Mourinho.

“Saya cuma beritahu mereka jangan terlalu ikutkan sangat rentak permainan, ikutlah rentak yang membuat anda selesa. Saya lebih suka dengan cara ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 7:50 AM