DZULKIFLI bersalaman dengan pegawai pengurusan SPRM sejurus tiba di ibu pejabat SPRM bagi memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya. FOTO Bernama
BERNAMA

PUTRAJAYA: Datuk Dzulkifli Ahmad hari ini memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Beliau yang tiba tepat pada 8 pagi disambut barisan pengurusan tertinggi SPRM yang diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah.

Hadir sama termasuk Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Datuk Alias Salim dan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki.

Beliau kemudiaannya mengetip kad perakam waktu sebelum masuk ke pejabat.

Dzulkifli, yang sebelum ini Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara, menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa pada Jumaat lalu mengumumkan pelantikan Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru mulai 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021.

Abu Kassim pula akan ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 10:20 AM