GAMBAR hiasan. FOTO EPA
Sarah Zulkifli


Petaling Jaya: Dua lelaki warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyimpan 1,011 ekor kura-kura jenis 'Indian Star Tortoise' tanpa lesen dan menyakiti hidupan liar itu di dalam 44 bekas bakul plastik di Taman Sri Aman, di sini, minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Ayub Khan Nazeer, 36, pekerja restoran Jaffar Sadik Khaja Mohideen, 32, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka bersama-sama didakwa menyimpan semua kura-kura itu yang tidak matang, iaitu hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mengikut pertuduhan kedua, mereka bersama-sama didakwa menyimpan dan menyebabkan kesakitan hidupan liar berkenaan dalam 44 bekas bakul plastik.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah kediaman di LC-09-18 Taman Sri Aman Low Cost Flats no 43 Jalan 22/44 Taman Sri Aman Seksyen 22 Taman Aman, di sini, jam 6.30 petang pada 25 Julai lalu.

Dakwaan bagi kes menyimpan hidupan liar itu dibuat mengikut Seksyen 61 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 dan penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Manakala bagi kesalahan menyakiti haiwan liar, dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 86 (1)(c) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara maksimim setahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta menetapkan 30 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 1:25 PM