Selepas pembabitannya dalam program Gegar Vaganza 2 dan kini bergelar penyampai radio Kool FM, rutin penyanyi Haiza semakin padat.

Buktinya, seawal jam 5 pagi pemilik nama sebenar Rohaizah Nordin, 36, sudah memulakan tugas bersama rakan gandingannya, AG di Konti Kool FM. Petang pula, dia sibuk undangan mengacara dan nyanyian.

Biarpun sibuk urusan kerja hampir setiap hari, Haiza tetap meletakkan keluarga sebagai keutamaan dan bersyukur sumainya, Norhapfe Omar banyak memberikan sokongan moral.

“Terus terang, momen inilah yang saya tunggu-tunggu. Saya sangat bersyukur kerana suami dan majikan sangat menyokong serta memberi semangat untuk saya terus aktif dalam bidang seni.

“Saya tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Jika ada persembahan hujung minggu di luar Kuala Lumpur saya akan bawa suami dan anak kerana kami dapat bercuti dan menghabiskan masa bersama,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbukanya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berduet dengan anak

Menariknya di acara itu, Haiza menghiburkan 250 tetamu yang hadir selain sempat berduet dua lagu dengan anak lelakinya, Nur Iman Syafie.

Apa yang mengejutkan, keletah anaknya pada malam itu menggamatkan suasana majlis apabila tidak kekok beraksi di atas pentas.

Melihat bakat anaknya yang berpotensi besar mengikut jejak langkahnya, Haiza berkata belum sampai masa buah hatinya itu menceburkan diri dalam bidang seni.

Haiza berkata, dia mahu Iman menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

“Iman memang suka menyanyi dan berpotensi besar, tetapi saya mahu dia dahulukan pelajaran.

“Bagaimanapun saya tidak menghalang jika dia mahu mengikuti kelas muzik kerana itu juga satu pelajaran. Namun, untuk mengintai peluang dalam bidang seni pada usia empat tahun, dia masih terlaku kecil untuk faham selok-belok bidang ini. Lagipun saya tidak mahu dia rasa tertekan atau terbeban,” katanya.

Tambah Haiza, jika anaknya mahu bergelar penyanyi satu hari nanti dia tidak akan menghalang, tetapi perlu ada hala tuju.

Jelas Haiza, dua dekad mencanai bakat dalam bidang ini bukan perjalanan yang mudah. Banyak rintangan dan onak duri terpaksa dilalui untuk sampai ke tahap ini.

“Andai rezeki dia dalam industri seni, saya restu tetapi dia perlu faham selok-belok dunia hiburan terlebih dahulu. Saya tidak mahu dia terkejut melihat wajah sebenar industri.

“Bukan apa, saya masak benar kepayahan anak seni dan tidak mahu dia menempuh dugaan seperti saya,” katanya.

Ditanya tidak teringinkah menambah zuriat memandangkan sudah menetap dengan suami di Kuala Lumpur, Haiza berkata dia hanya mampu berdoa dan berserah kepada ketentuan Ilahi.

“Kita hanya merancang, Tuhan menentukan segalanya. Terus terang, saya mahu tambah zuriat apatah lagi usia kian meningkat dan Iman akan ada teman bermain.

“Doakan semoga saya cepat dikurniakan anak lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 10:28 AM