ANGGOTA bomba mengangkat mayat selepas ditemui terapung di muara Sungai Bundusan, Papar. FOTO ihsan bomba
Junaidi Ladjana


Papar: Mayat seorang wanita yang dikhuatiri lemas selepas kenderaan dipandunya terjunam ke dalam sungai di Taman Sayang, Jalan Melugus, di sini, Ahad lalu akhirnya ditemui pagi tadi.

Mayat Rohani Samsudin, 50, ditemui jam 10.10 pagi dalam keadaan sempurna lebih tiga kilometer dari lokasi kemalangan oleh penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Dunstan Peter berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 5.50 petang Ahad lalu, sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang kemudiannya memaklumkan kepada bomba dan kami menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dipermukaan air di muara Sungai Bundusan, lebih tiga kilometer dari lokasi mangsa hilang selepas kenderaan Toyota Hilux dipandunya terjunam.

"Mayat mangsa kemudian diangkat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR membabitkan seramai31 anggota terdiri daripada BBP Papar, polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Papar, dan Pasukan Polis Marin (PPM) serta beberapa penduduk kampung.

"Sebaik mayat mangsa ditemui, operasi kemudian ditamatkan jam 10.35 pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 11:40 AM