FOTO hiasan
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Malaysia Airports Holdings Berhad mengesahkan, sebuah pesawat AirAsia tidak dibenarkan berlepas selepas menerima ancaman bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada pagi ini.

Pesawat berkenaan sepatutnya berlepas dari lapangan terbang itu ke Banda Aceh, Indonesia jam 7.45 pagi dengan jumlah 123 penumpang dan enam anak kapal.

Menerusi kenyataan ringkas MAHB, pihaknya menerima maklum berhubung ancaman bom itu oleh syarikat berkenaan di pesawatnya.

"Justeru, pihak MAHB sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan serta pihak bertanggungjawab bagi menangani situasi itu berdasarkan prosedur operasi standard.

"Buat masa ini, ia tidak menjejaskan operasi penerbangan pesawat lain di klia2," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, semasa pesawat baru hendak berlepas, ia berpatah balik semula kerana seorang daripada penumpang menyebut perkataan bom serta didengari pramugara yang bertugas.

"Tiada sebarang objek, bungkusan atau kotak disyaki mempunyai bom dijumpai dan hanya sebutan perkataan 'ada bom kot' oleh penumpang terbabit.

"Penumpang itu dibawa ke Balai Polis KLIA2 untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, Unit Pemusnah Bom (UPB) menjalankan pemeriksaan pesawat dan semua bagasi penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 12:43 PM