SP Rajnath (dua kiri) dan B Marvin Kumar (dua kanan) dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh rakan mereka. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SP Rajnath (dua kiri) dan B Marvin Kumar (dua kanan) dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh rakan mereka. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Dua sahabat dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakan mereka di Mersing, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Dr Sabirin Ja'afar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Tertuduh, SP Rajnath, 29, dan B Marvin Kumar, 30, didakwa menyebabkan kematian M Mathan yang berusia 19 tahun ketika kejadian di tepi jalan Taman Rekreasi Jemaluang, Kilometer 22 Jalan Mersing-Jemaluang-Kluang dekat Mersing, antara 2 hingga 5 pagi, 4 Januari 2013.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Sabirin berkata, keterangan kedua-dua tertuduh ketika dipanggil membela diri tidak dapat dipercayai dan diyakini malah bersifat penafian.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Iffa Zarilla Abd Rahman mengemukakan 18 saksi sepanjang perbicaraan.

Rajnath diwakili peguam Vasudevan Appu, manakala Marvin diwakili peguam V Rajagopal, akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 4:36 PM