ANTARA menu yang menjadi tarikan di Clove Dining.
Kusyi Hirdan

“Saya jenis yang tekad. Kalau hendak buat sesuatu, saya akan ke hadapan. Saya tidak mahu pandang belakang lagi!”

Itulah kata-kata penuh yakin Noor Falina Hamidon, 28, atau lebih dikenali dengan nama Nena Falina. Wanita tinggi lampai yang baru setahun bergelar isteri ini tahu apa yang dimahukannya. Walaupun ia jauh berbeza daripada bidang dipelajarinya ketika di universiti dahulu, tidak nampak pun dia janggal.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pengilangan, Universiti Islam Antarabangsa, sejak bergelar pelajar Nena suka melakukan perniagaan secara dalam talian. Dia tahu keseronokan dan kepuasan berniaga.

“Selepas tamat belajar saya bekerja di bank selama tiga tahun. Namun kerana minat yang mendalam terhadap makanan, saya selalu mengimpikan membuka restoran sendiri,” katanya.

Ia memang seperti impian kebanyakan kita tetapi bagi Nena, impian itu tidak dibiarkan terawang-awang begitu saja. Nena tekad menjadikan ia kenyataan dengan mengumpul ilmu berkaitan dan mencari sedikit pengalaman.

“Saya cari pengalaman dahulu dengan bekerja di restoran sebaik meletak jawatan di bank. Selepas enam bulan, terus mengorak langkah membuka Clove Dining.”

Wah! Beraninya dia!

Dalam waktu keadaan ekonomi negara tidak menentu, ramai berharap untuk terus bekerja makan gaji. Wanita ini pula sebaliknya, berhenti kerja dan membuka perniagaan sendiri. Restoran pula! Khalayak tahu betapa restoran antara bidang perniagaan yang berisiko tinggi.

Katanya dia sedar keadaan itu. Tetapi ia tidaklah membuatkannya hilang semangat.

“Apa bidang pun punya risiko. Saya perlu menghadapinya. Keluarga menyokong terutama suami dan bapa. Emak sedikit risau, biasalah, emak selalunya begitu, tetapi dia tetap menyokong keputusan saya,” katanya.

Soto resipi ibu

Lahirlah Clove Dining pada Ramadan lalu dengan hiasan dalaman serba putih. Kenapa?

“Saya suka keadaan tampak bersih begini,” ujar anak kedua daripada lima beradik kelahiran Batu Pahat, Johor ini.

Nena memilih kawasan yang mempunyai pelbagai restoran antarabangsa di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur. Justeru dia perlu mencari kelainan bagi menarik pelanggan.

“Saya menyajikan apa yang saya suka makan. Makanan Barat dan Asia termasuk kesukaan rakyat Malaysia. Untuk hidangan Malaysia saya membawa mi bandung, laksa utara dan soto. Semuanya resipi turun-temurun. Laksa daripada keluarga suami manakala soto pula mengenai ibu saya,” katanya.

Wajah Nena teruja apabila bercerita kehebatan soto ibunya yang selalu dipuji kawan-kawannya.

“Kawan-kawan sering memuji kesedapan soto ibu, jadi saya bawa sekali menu itu ke Clove Dining. Rempah sotonya memang sedap selain bergedil hasil tangan ibu yang hebat rasanya. Sukar saya nak jelaskan bagaimana, jadi datanglah rasa,” katanya.

Walaupun restorannya masih baru, Nena mempunyai pelbagai rancangan demi memantapkan operasi.

“Restoran saya ini turut menyediakan katering luar. Ia sesuai untuk mereka yang mahu mengadakan majlis tertutup bersama kawan ataupun ahli keluarga,” katanya.

Penulis sempat merasa beberapa menu di Clove Dining. Hidangan stiknya memang sedap, begitu juga spageti marinara. Mungkin pada kunjungan akan datang dapat merasa soto pula di samping meratah bergedilnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 5:17 AM