PENDUDUK melihat Gunung Sinabung yang mengeluarkan debu tebal berhampiran kampung Tiga Pancur di Karo, Sumatera Utara, semalam. - AFP
PENDUDUK melihat Gunung Sinabung yang mengeluarkan debu tebal berhampiran kampung Tiga Pancur di Karo, Sumatera Utara, semalam. - AFP
AFP

Jakarta: Letusan tiga gunung berapi di Indonesia sejak beberapa hari lalu menyebabkan dua lapangan terbang ditutup selepas ia mengganggu penerbangan, kata pegawai, semalam.

Gunung Gamalama di pulau Ternate meletus awal pagi semalam selepas gempa bumi sederhana melanda kawasan itu, memuntahkan abu hingga 600 meter ke udara dan menyebabkan lapangan terbang di situ ditutup.

“Penduduk dinasihatkan supaya bertenang,” kata jurucakap Agensi Bantuan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

Menurutnya, lapangan terbang di pulau itu dijangka ditutup hingga pagi ini dan pihak berkuasa belum lagi merancang memindahkan penduduk.

Menurutnya, pada tengah hari semalam, gunung berapi berkenaan sudah berhenti meletus.

Lapangan terbang Lombok pula ditutup dari Isnin lalu hingga kelmarin akibat awan debu yang dibawa dari letusan gunung Rinjani, menyebabkan 29 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan.

Lapangan terbang di Bali masih dibuka, tetapi beberapa penerbangan ke Lombok terpaksa dibatalkan. Penerbangan antara Australia dan Bali juga dibatalkan.

Gunung Sinabung yang terletak di Sumatera turut meletus dengan kuat kelmarin, tetapi awan debu yang dikeluarkan tidak mengganggu penerbangan di kawasan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 7:38 AM