JEMAAH Haji mengaminkan doa sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadat Rukun Islam kelima itu di Kompleks Tabung Haji hari ini. FOTO Bernama
Asmah Rusman


Kelana Jaya: Seramai 450 jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah kira-kira jam 4 petang ini menggunakan pesawat Boeing 747-400, SV5401 milik Saudia Airlines.

Penerbangan terus berkenaan adalah penerbangan kedua jemaah haji Malaysia dan dijangka tiba di Madinah pada jam 7.30 malam (waktu Saudi).

Tinjauan Harian Metro di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya mendapati ahli keluarga dan sanak saudara memenuhi tempat menunggu seawal jam 7 pagi bagi mengiringi jemaah haji berkenaan.

Semua jemaah mula mendaftar masuk bermula jam 10 pagi sebelum bergerak ke KLIA dengan menaiki bas jam 1 petang tadi.

Jemaah haji, Masudi Nawi, 76 yang ke tanah suci bersama isterinya, Ros Ibrahim, 72 dan anaknya Mohd Izwan Masudi, 43 tidak menyangka dapat menunaikan rukun Islam kelima itu buat kali kedua.

"Alhamdulillah dijemput lagi untuk menunaikan haji bersama isteri dan anak berkat menyimpan sikit-sikit wang pemberian anak setiap bulan," katanya yang kali pertama menunaikan haji pada tahun 1998.

Masudi berkata, dia berharap akan dikurniakan haji mabrur dan diberikan kesihatan yang baik sepanjang berada di tanah suci untuk menjalankan ibadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 3:51 PM