SPEEDY Tigers (jersi kuning) akan beraksi di AHL dari 29 September hingga 9 Oktober.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Resipi Australia. Itu yang bakal dilalui tiga skuad negara apabila diberi peluang beraksi dalam Liga Hoki Australia (AHL) - salah satu liga paling kompetitif di dunia bermula dari 29 September sehingga 9 Oktober ini.

Berbekalkan matlamat utama untuk meningkatkan prestasi pasukan bagi menghadapi saingan lebih mencabar pada masa depan, skuad negara diramal meraih pengalaman cukup berharga apabila bakal beraksi bersama pemain ternama dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) K Logan Raj berkata, ketiga-tiga pasukan itu membabitkan daripada skuad utama serta skuad pembangunan lelaki dan skuad wanita.

Pasukan jemputan lain turut menyertai liga yang berlangsung kira-kira dua minggu itu adalah skuad remaja India dan New Zealand.

“Kami sangat berbesar hati menerima tawaran untuk beraksi pada saingan liga yang boleh dilabel antara paling kompetitif di dunia.

“Ini satu lagi langkah ke depan untuk sukan hoki di Malaysia. Kami percaya dengan penyertaan tiga pasukan kami, ia akan meningkatkan lagi hubungan dengan Australia.

“Kami berterima kasih kepada Hockey Australia kerana menjemput dan sudah tentu pasukan Malaysia akan memberikan yang terbaik di kejohanan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:49 AM