MARLIANA Shamsuddin (tengah) bersama rakan menunjukkan poster kempen World #QuranHour.
MARLIANA Shamsuddin (tengah) bersama rakan menunjukkan poster kempen World #QuranHour.
HUSSAMUDDIN (depan empat dari kanan), Pengerusi BERNAMA Datuk Seri Azman Ujang (depan dua dari kiri) dan Marhaini (depan tiga dari kiri) bersama wakil UIAM serta media utama selepas sesi taklimat World #QuranHour.
HUSSAMUDDIN (depan empat dari kanan), Pengerusi BERNAMA Datuk Seri Azman Ujang (depan dua dari kiri) dan Marhaini (depan tiga dari kiri) bersama wakil UIAM serta media utama selepas sesi taklimat World #QuranHour.


Buat julung kali Sinergi Media Malaysia 2016 bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas akan mengadakan World #QuranHour, program bagi mengajak ummah berinteraksi dengan al-Quran.

Selepas berinteraksi dan memahami al-Quran, manifestasinya adalah keikhlasan dalam bentuk tindakan untuk mengamalkannya, melupakan perbezaan sesama manusia serta fokus terhadap usaha pembaikan sedaya yang mampu.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, World #QuranHour bukan suatu acara semata-mata, sebaliknya pergerakan untuk menukar pemikiran orang Islam.

Selari dengan tuntutan agama dan menjunjung tinggi Kitabullah, katanya, World #QuranHour usaha untuk meraikan al-Quran.

“Kita nak masukkan Quran dalam hati manusia,” katanya pada sesi taklimat World #QuranHour kepada rakan media di Dewan Sultan Muhammad Ke-V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selalu lalu.

Pelaksanaan World #QuranHour Perdana dijadualkan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, pada 9 Zulhijah 1437 bermula jam 9 pagi.

Ia turut membabitkan lokasi lain di dalam dan luar negara, termasuk di Padang Arafah membabitkan jemaah haji Malaysia dan negara bergabung.

World #QuranHour adalah kesinambungan daripada inisiatif sejak 2013 melalui #AktifkanRumahNgaji dan #MalaysiaNgaji, iaitu acara kemuncak penyatuan hati seluruh ummah dengan al-Quran dan iltizam melakukan kebaikan berlandaskan ajarannya.

Menurut Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, pihaknya mengambil inisiatif menggerakkan usaha itu bermula dengan #AktifkanRumahNgaji kerana berasa bertanggungjawab selepas mendapati sesetengah orang Islam mempamerkan imej buruk, bahkan bergaduh sesama sendiri.

“Kita nak orang Islam balik baca Quran. Sekarang, kita rasa hendak bawa ke tahap paling besar ke tahap dunia,” katanya yang memberikan penjelasan kenapa pihaknya memilih platform al-Quran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, tarikh 9 Zulhijah bagi program World #QuranHour ditetapkan adalah sempena Hari Wukuf manakala jam 9 pagi pula sesuai dengan waktu duha.

“Kita nak ambil semangat wukuf. Kita tak nak orang Islam baca Quran tapi akhlak tak macam Quran,” katanya.

Bagi mengelak salah faham, beliau menegaskan, program itu bukan fokus kepada khatam al-Quran tetapi untuk berinteraksi dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 1:06 PM