ANTARA barangan yang dibawa suspek dirampas polis. FOTO ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Dua lelaki ditahan polis di sebuah rumah di Taman Pelangi Indah di sini, petang semalam selepas disyaki menipu dengan menyamar sebagai keturunan Sultan Melaka.

Seorang yang mendakwa dirinya ustaz berusia 48 tahun ditahan bersama seorang peniaga 55 tahun dalam serbuan antara 4.45 petang hingga 5 petang selepas polis bertindak atas maklumat yang diperolehi.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Johor menerima laporan polis pada Rabu lalu yang menyatakan bahawa terdapat individu mengaku daripada keturunan Sultan Melaka dengan mempamerkan peralatan kebesaran Kesultanan Melaka yang dimilikinya.

Beliau berkata, satu majlis keraian sempena memperingati kemangkatan Kesultanan Melaka juga dilaporkan diadakan di daerah ini, dalam tempoh terdekat.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menahan dua lelaki dan merampas peralatan, persalinan serta barangan lain yang didakwa mempunyai kaitan dengan peralatan kebesaran Kesultanan Melaka.

"Barangan yang dirampas termasuk 30 keris, 16 kelengkapan persalinan, 12 tombak, pedang dan parang serta empat peralatan pelbagai gelaran kebesaran," katanya.

Menurut Wan Ahmad Najmuddin, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 4:33 PM