PENDATANG asing tanpa izin yang ditangkap. FOTO ihsan PPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Tiga belas pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dalam tiga serbuan berasingan di persisiran pantai Ladang Sungai Tengah, Pengerang di sini, ketika cuba menyusup masuk ke negara ini, awal pagi tadi.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya mengesan sekumpulan PATI itu yang baru mendarat dan bersembunyi di lokasi berkenaan.

"Pada 5 pagi, kita menahan dua lelaki dan empat wanita berusia antara 20-an hingga 40-an sebelum tangkapan kedua di lokasi berhampiran pada 7.30 pagi iaitu dua lelaki juga berusia antara 20-an hingga 40-an.

"Susulan serbuan Ops Landai yang dijalankan, kita percaya masih ada PATI yang menyusup masuk dan bersembunyi dalam semak berhampiran," katanya.

Oleh yang demikian, Paul berkata, pihaknya meminta bantuan dan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di kawasan terbabit untuk mengesan baki PATI.

"Hasil kerjasama ini, ia membawa kepada tangkapan lima lagi PATI terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 20-an hingga 40-an yang sedang bersembunyi," katanya.

Beliau berkata, semua PATI yang ditahan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar di sini untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 6:52 PM