APLIKASI Pokemon Go. FOTO Zulaikha Zainuzman
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Kerajaan negeri menyerahkan kepada Jabatan Mufti Kedah untuk membuat ketetapan mengenai aplikasi Pokemon Go sama ada permainan berkenaan perlu diharamkan atau sebaliknya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau juga mendengar pelbagai kejadian termasuk membabitkan kemalangan sehingga memudaratkan pemain itu sendiri.

"Kita akan bincang... kena dengar pandangan Mufti Datuk Syeikh Muhamed Baderudin Ahmad. Kita serah kepadanya untuk keluarkan ketetapan. Selama ini pun saya dengar orang yang dok main jatuh parit dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, hari ini.

Akhbar semalam melaporkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengumumkan watak Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan atau haram atas faktor 'maslahah' dan kemudaratan.

Ia diputuskan berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarakt Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lalu.

Keputusan itu dibuat selepas permainan itu didapati mengiyakan dewa tertentu yang mempunyai kuasa dan ditambah boleh membawa kepada perjudian.

Berita berkaitan:

Pokemon Go haram

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 7:19 PM