KETUA Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein

my

Johor Bahru: Anggota polis ditahan petang tadi selepas disyaki memuat naik satu kenyataan jelik berunsur perkauman melalui Facebook (FB).

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, anggota polis Balai Polis Desa Cemerlang itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada 4.15 petang.

"Suspek lelaki berusia 28 tahun itu ditahan susulan satu laporan polis yang dibuat Khamis lalu pada 3.05 petang berkaitan dengan penyalahgunaan media sosial iaitu memuat naik kenyataan bersifat jelik yang menghina, menyakitkan hati dan berunsurkan perkauman.

"Laporan polis itu mendakwa kenyataan terbabit dikeluarkan oleh seorang anggota polis melalui FB.

"Kenyataan berunsurkan perkauman itu boleh mengganggu gugat ketenteraman awam di kalangan masyarakat dan sekali gus boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai dia adalah individu yang memiliki dan menggunakan akaun FB itu.

Katanya, hasil tangkapan itu, polis turut merampas satu telefon bimbit dipercayai digunakan suspek bagi memuatnaik kenyataan berunsur perkauman melalui FB itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 7:48 PM