DI SAMPING menjamu selesa pelanggan juga dihiburkan dengan persembahan muzik.
MENYEDIAKAN makanan ala Barat.
Farah Suhaidah Othman


Tanpa perlu ke restoran eksklusif mahupun ke hotel lima bintang, sesiapa sahaja mampu menikmati muzik ‘live’ sambil menikmati makanan fusion Barat yang enak serta kopi buatan sendiri yang pekat dan ‘kaw’.

Suasana itu dapat dinikmati di Kafe Musika yang terletak di laluan sibuk Jalan Sultan Idris Shah di tengah bandar raya Ipoh, bertentangan pintu masuk Gerbang Malam.

Sambil memperdengarkan kelunakan suara vokalis yang diiringi ahli kumpulan muzik, pelanggan seakan-akan terbuai ketika menikmati ‘penangan’ air tangan The Amateur Kooks dengan hidangan makanan fusion Barat.

Pemiliknya, Mohd Hafizurrahman Sheikh Mohamah Nor, 31, berkata, idea mengetengahkan konsep kafe muzik itu hadir sejak 2014 berikutan tidak banyak kedai makan di bandar ini yang memikat pengunjung dengan membawakan kumpulan muzik bermain alat muzik elektrik secara ‘live’ dan santai.

Menurutnya, kebanyakannya yang sedia ada turut menyediakan minuman beralkohol yang tidak sesuai dikunjungi masyarakat Islam serta terhad kepada peringkat usia.

“Minat saya sendiri adalah bermain alat muzik dan ketika remaja, ramai rakan yang gemar melepak dan bersantai sambil mendengar muzik. Jadi sebagai kelainan, saya bersama rakan niaga tampilkan konsep kafe muzik yang membolehkan pengunjung menyanyi bersama kumpulan muzik atau bermain alat muzik,” katanya.

Dia yang membuka kafe itu bersama rakan, Johaizal Musa, 33, berkata, bersesuaian dengan konsep dan lokasi untuk lepak, kafe itu juga mengutamakan sajian minuman kopi yang dibuat mengikut resipi sendiri dan mengandungi pelbagai perisa.

Katanya, dia juga mahu tampilkan kelainan dari sudut penyediaan menu makanan ala Barat yang sering disediakan di mana-mana kafe yang ada dan lari daripada konsep kafe ‘hipster’ yang cukup terkenal di bandar ini.

“Kami kisar sendiri kopi biji dan menghasilkan minuman itu mengikut perisa tertentu seperti Hazelnut, Caramel, Vanila dan Mocha.

“Selain kopi, kami turut menyediakan air bikarbonat berperisa buah-buahan yang hanya boleh didapati di Australia.

“Lazimnya kafe atau restoran yang menyediakan makanan ala Barat dengan menu biasa seperti Chicken Chop atau Lamb Chop, namun kita buat kelainan dengan sajian berasaskan resipi sendiri bawah kendalian tukang masak berpengalaman,” katanya.

Bermodalkan pengalaman tukang masak dalam bidang kulinari selama lapan tahun di Australia, cef Azlan Shah Amir Hashim menyediakan sajian menggunakan ramuan sendiri termasuk dari segi penyediaan bahan perap dan kuah makanan.

“Ada 15 menu variasi makanan Barat dari pelbagai negara termasuk Mexico, Amerika, Asia Barat dan juga Asia.

“Bahan perap bagi setiap makanan adalah berbeza dan penyediaan makanan juga saya buat sendiri termasuk bebola daging (meatball). Pendek kata, semua resipi dicipta daripada ‘scratch’.

“Tak ramai yang boleh menerima makanan ala Barat, namun saya sesuaikan resipi dengan tekak masyarakat setempat, contohnya dalam penyediaan Sweet Honey Soy Chicken, saya gunakan sos soya manis dengan campuran rempah ratus dan herba tempatan seperti pasli kering dan serbuk cili,” katanya.

Kafe Musika menawarkan 15 menu makanan fusion Barat pada sebelah malam dengan waktu operasinya bermula dari jam 6 petang hingga 1 pagi manakala waktu operasi untuk sarapan yang juga berasaskan kepelbagaian makanan Barat bermula dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Untuk keterangan lanjut, pelanggan boleh mengikuti laman sosial Instagram kafe itu di @kafe_musika atau mengunjungi sendiri, di kafe 166, Jalan Sultan Idris

Shah, Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:00 AM