GAYA baharu pada bahagian belakang.
KOKPIT kemas dan sporty.
LALUAN pengambilan udara menegak.
LOGO pada bahagian belakang.
PENGENDALIAN terbaik dan selesa.
Erywan Norshal


Memandu kenderaan berprestasi sememangnya menjadi idaman lebih-lebih lagi ia datang dari Stuttgart, Jerman di mana berasalnya jentera jenama Porsche.

Inovasi dalam menyediakan jentera berprestasi tidak pernah lekang bagi kenderaan yang diasaskan oleh Ferdinand Porsche sejak 1931 itu.

Jenama itu semakin berkembang di seluruh dunia dengan melahirkan model baharu yang semakin digeruni pesaingan lain.

Bagi model Porsche 911 Carrera, ia boleh dikatakan sebagai contoh produk terbaiknya selepas menjadi kenderaan jualan terbaik dalam segmen kereta sport.

Kini ia hadir dengan generasi ketujuh yang mendahului dalam kelasnya terutama dalam prestasi dan kecekapan bahan api.

Bagi mendekati produk ini, penulis diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Singapura semata-mata untuk memandu uji jentera baharu yang diperkenalkan di negara ini bulan lalu.

Kehadiran penulis disambut dengan ‘mambang’ oren menerusi Porsche 911 Carrera S di mana ia adalah varian paling mantap dalam model berkenaan.

Elemen baharu pada Porsche 911 Carrera S ini membabitkan enjin rata pengecas turbo, casis termaju yang dibangunkan untuk memberikan prestasi dan keselesaan serta sistem maklumat hiburan terkini.

Enjin generasi baharu itu dipadankan pengecas bi-turbo bagi mempertingkatkan keseronokan pemanduan sekali gus memberi pengalaman yang lebih menarik.

Bagi model ini, ia dilengkapi dengan rangkaian kuasa tiga liter yang menyalurkan 420hp yang mana prestasi itu bertokok 20hp berbanding sebelum ini.

Biarpun ia berkongsi enjin varian Porsche 911 Carrera, kuasa maksimum bagi model ‘S’ lebih besar akibat daripada pengecas turbo dengan pemampat diubah suai khas, sistem ekzos dan penalaan pengurusan rangkaian kuasa.

Kuasa torknya juga meningkat sehingga 500Nm dan pecutannya boleh dirasai pada 1,700rpm. Bagaimanapun, prestasi itu tidak boleh dikerah pada tahap maksimum di jalan raya di Singapura. Cuma berdasarkan spesifikasi, ia terdaya memecut sehingga 308 kilometer sejam (km/j) dan hanya memerlukan 3.9 saat bagi 0-100 km/j.

Biarpun enjin berprestasi, ia tidak mengorbankan tahap penggunaan bahan apinya dengan bacaan 7.7 liter bagi setiap 100 kilometer.

Cuma sepanjang pemanduan di Singapura, penulis tertarik berhubung pengendaliannya yang sangat stabil dengan memberi cengkaman maksimum terhadap permukaan jalan.

Setiap selekoh yang diuji, kenderaan ini boleh memahami fikiran penulis untuk mengawalnya dengan cara selamat dan pantas.

Gaya pemanduannya lebih mantap selepas dilengkapi Pengurusan Suspensi Aktif Porsche (PASM) di mana casisnya direndahkan 10 milimeter (mm), selain dilengkapi penyerap hentak generasi baharu bagi meningkatkan keselesaan.

Tambahan pula, semua varian model berkenaan dilengkapi rim lebar pada bahagian belakang apabila meningkat 0.5 inci dengan menggunakan tayar berukuran 305mm.

Ruang dalamannya masih seperti model terdahulu dengan susun atur butang pada papan pemuka dan sistem multimedianya.

Paling menonjol adalah butang mod berada pada stereng dengan pilihan Normal, Sport, Sport Plus atau Individu di mana ia mudah dicapai untuk menukarnya.

Pada masa sama ia dilengkapi ‘Sport Response Button’ di mana boleh menekan butang berkenaan untuk menyalurkan kuasa maksimum sekiranya mahu meningkatkan prestasi dalam tempoh 20 saat seperti mahu memecut atau memotong kenderaan lain.

Sistem multimedia dilengkapi sistem Pengurusan Komunikasi Porsche (PCM) yang mempunyai navigasi dalam talian manakala skrin sesentuh tujuh inci pula dipadankan dengan kawalan suara.

Pengguna boleh mengendalikannya dengan sentuhan yang sama seperti digunakan pada telefon pintar.

Sementara itu, penampilan baharunya boleh dilihat dengan rekaan yang lebih bergaya dan agresif selain memberi tumpuan kepada ciri aerodinamik.

Rekaan luarannya menerapkan imej lebih tajam seperti anak panah dengan padanan perumah lampu baharu yang lebih menarik.

Selain itu, ciri baharu yang ditekankan adalah rekaan pengambilan udara pada bahagian belakang dengan rekaan menegak bagi menyalurkannya pada enjin secara maksimum.

SPESIFIKASI:

Porsche 911 Carrera S

Enjin: 2,981cc, pengecas bi-turbo dan suntikan terus bahan api

Kuasa maksimum: 420hp pada 6,500rpm

Tork maksimum: 500Nm antara 1,700 sehingga 5,000rpm

Transmisi: Tujuh kelajuan Porsche-Doppelkupplung (PDK)

Kelajuan maksimum: 308km/j

Masa 0-100km/j: 3.9 saat

Harga: Bermula RM970,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:03 AM