BADHRI (kiri) dipeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama.
BADHRI (kiri) dipeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama.

Kota Bharu: Pemain Kelantan mengotakan janji untuk menumpaskan pasukan jiran, T-Team 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV, malam tadi.

Gol pertama tuan rumah dijaringkan kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi pada minit ke-65 menerusi tandukan yang menewaskan penjaga gol pelawat Wan Muhd Azrie Wan Teh.

Sebaik babak separuh masa pertama bermula, Kelantan terus mengatur strategi menyerang namun keampuhan benteng T-Team menidakkan beberapa percubaan berbahaya.

Walaupun kehilangan empat tonggak utama, pemain Kelantan berjaya mempamerkan aksi cemerlang di depan kira-kira 10,000 penyokong setia mereka.

Malah, ketiadaan Indra Putra sebagai perancang utama kerana penggantungan akibat kad kuning juga sedikit merencatkan rentak permainan Kelantan.

Tuan rumah hampir menjaringkan gol pada minit ke-5 dan ke-7 menerusi percubaan Wan Zack Haikal tetapi sepakannya terus ke dakapan Wan Muhd Azrie.

Percaturan Velizar Popov memasukkan Abdul Manaf Mamat juga gagal memberi impak terhadap jentera serangan Kelantan apabila sering dirantai pergerakannya oleh pemain T-Team.

Sekalipun semput kerana kepenatan, jentera serangan Kelantan diketuai Wander Luiz, Wan Zack Haikal dan Abdul Manaf dengan dibantu Brendan Gan tetap bernafsu memburu gol.

Bersambung separuh masa kedua, anak buah Rachmat Darmawan mula mengatur asakan ke kubu Kelantan tetapi pemain muda Mohammad Faris Shah bertindak cemerlang mematahkan beberapa percubaan berbahaya.

Kesungguhan anak buah Popov memburu gol pertama akhirnya berbaloi apabila kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi menghadiahkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-65 sebaik mendapat umpanan cantik Mohamad Qayyum.

Tersentak dengan jaringan pertama Kelantan, pasukan bergelar The Titans itu berusaha menggandakan serangan ke gawang tuan rumah namun sepakan jentera serangan mereka sering tersasar.

Kemasukan penyerang import Kelantan Blazhe Ilijoski menggantikan Abdul Manaf dilihat berjaya menghidupkan barisan depan hingga memaksa pemain T Team ‘berkampung’ di gawang mereka.

Rangkaian Ilijoski dan Luiz ternyata memberi kesukaran benteng pertahanan T Team diketuai Maiga Abdoul Youssouf untuk mengekang pergerakan kedua pemain itu tetapi jaringan Luiz pada minit ke-90 mengesahkan tiga mata buat tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 10:05 AM