Larian Antarabangsa Ipoh pagi tadi. FOTO L Manimaran
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Lebih 7,000 peserta menyertai membabitkan empat kategori utama Larian Antarabangsa Ipoh (IIR) 2016 di sini pagi ini.

Kategori berkenaan adalah 21 kilometer (km),10 km, 7 km dan 5 km di mana kesemuanya bermula di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir dan melepaskan peserta larian pada jam 6.30 pagi tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dan Setiausaha MBI, Mohd Zakuan Zakaria.

Program anjuran MBI itu disertai oleh peserta dari luar negara negara termasuk Jerman, India, Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand, Singapura, Ghana dan Kenya.

Laluan larian peserta sejauh 21 km membabitkan kawasan Jejak Warisan Kota Lama seperti Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Kelab Diraja Ipoh, Dewan Bandaran, Mahkamah Tinggi dan Stesen Keretapi Ipoh.

Peserta turut memasuki laluan Little India dan Jalan Sultan Yussuf yang terdapat beberapa bangunan lama dan kawasan pasar karat di Memory Lane.

Acara larian pagi ini diceriakan dengan pelbagai gelagat peserta serta keletah lima jenis maskot iaitu Mickey, Minnie, Pooh, Minions dan Frozen yang mengiringi peserta memulakan larian di garisan permulaan.

Selain itu, pengunjung yang hadir turut berpeluang menyertai acara sampingan senamrobik dan tarian Zumba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 12:01 PM